Polis siasat Ahli Parlimen Baling kes kaitkan PM ejen Israel
Kuala Lumpur: Polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Ahli Parlimen Baling Hassan Saad yang mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai ejen Israel.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.
Katanya, kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 504, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, semalam dilaporkan berkata, Anwar meminta polis membuat siasatan terhadap fitnah terhadap dirinya itu.
Pada masa sama, Fahmi berkata PKR juga akan mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu.
Anwar yang juga Presiden PKR mula diserang dengan dakwaan yang dikaitkan dengan Israel di media sosial sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu. – Hmetro
Hassan diberi masa 3 hari tarik balik audio fitnah terhadap Anwar
Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi masa selama tiga hari kepada Ahli Parlimen Baling Hassan Saad supaya menarik balik dengan serta merta kenyataan dan audio fitnah yang mengaitkan pelantikannya dengan pengaruh Israel.
Anwar yang mengemukakan surat tuntutan (LOD) melalui firma guaman SN Nair & Partners hari ini, turut menuntut Hassan membuat permohonan tanpa syarat dalam cara dan bentuk yang akan diluluskan oleh peguam beliau untuk disiarkan dalam akhbar dan media pilihannya.
Selain itu, Hassan diminta mengemukakan aku janji bertulis untuk tidak mengulangi mana-mana dakwaan dan komen seperti yang terkandung dalam perkataan serta audio memfitnah berkenaan.
Menurut surat tuntutan yang ditandatangani peguam SN Nair, jika Hassan gagal berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan, Anwar akan memohon perintah injuksi dan memfailkan saman dengan menuntut ganti rugi pampasan yang susbtantif di atas reputasinya yang terjejas teruk.
Ia menyatakan bahawa, perkataan dan audio fitnah itu dikaitkan kepada Hassan melalui audio dan gambar latar belakang (audio) di mana Hassan tidak pernah menafikan perkaitan dengan dirinya walaupun selepas ia ditularkan di Twitter dan aplikasi sosial media lain.
"Oleh. itu, anak guam kami menganggap YB (Yang Berhormat) (Hassan) yang menyebabkan perkataan dan audio fitnah berkenaan diterbitkan atau diterbitkan semula.
"Jika YB (Hassan) menafikan mengungkapkan perkataan dan menerbitkan audio fitnah itu, kami diarahkan oleh anak guam untuk menuntut pengesahan umum dan secara bertulis bahawa YB (Hassan) tidak mengungkapkan perkataan itu atau menyebabkan ia diterbitkan semula.
"Perkataan dan audio memfitnah ini juga bercanggah dengan Akta Hasutan 1948 yang masih berkuat kuasa, di mana tindakan YB (Hassan) secara langsung menyumbang kepada suatu salah laku jenayah," kata surat berkenaan.
Menurut surat tuntutan itu, Anwar menyatakan bahawa pada 27 November lalu, Hassan menerbitkan atau menyebabkan penerbitan satu hantaran audio di aplikasi Twitter di bawah nama Mohd Ropi Mat Sin.
Audio itu juga dipetik oleh pengguna Twitter di bawah nama 'Pemikir Malaysia' yang mendapat tontonan melebihi 431,500 kali dan reaksi 'like' melebihi 4,800 kali.
Menurut surat terbabit, Anwar menegaskan bahawa perlantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 diperkenan Yang di Pertuan Agong selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu pada 24 November lalu.
Ia berkata, pelantikan berkenaan disempurnakan dengan penuh tertib dan hormat selaras kuasa tertinggi di negara ini, namun Hassan bertindak dengan pengetahuan penuh dengan mengungkapkan dan menerbitkan atau menyebabkan penerbitan perkataan dan audio fitnah berkenaan.
"Dalam berbuat demikian, YB (Hassan) mencemarkan dan mengejek titah Yang di-Pertuan Agong untuk memperkenankan perlantikan itu dan secara langsung, melakukan penghinaan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu.
"YB (Hassan) juga mengaibkan dan memperkecilkan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja di bawah Perkara 40 dan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan dan mencabar titah Yang di-Pertuan Agong dalam memperkenankan perlantikan anak guam kami sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10," kata surat tuntutan itu.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel