#PRU15: Rekod terburuk BN



Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selepas gagal mempertahankan sejumlah besar kerusi yang dimenangi mereka pada PRU-14 lalu.

Setakat jam 2 pagi ini, makluman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan BN hanya menang di 25 kerusi Parlimen.

BN tewas semua kerusi Parlimen yang ditandingi mereka di Perlis, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Melaka, termasuk tewas di banyak kerusi kubu kuatnya.


Berdasarkan keputusan tidak rasmi pula, BN yang diwakili empat parti utama termasuk Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) diramal tidak menang di lebih 40 kerusi Parlimen pada PRU-15 kali ini.

Antara kerusi BN dan Umno yang tewas kali ini termasuk Parlimen Jasin, Labuan, Mersing, Pasir Salak, Machang, Kepala Batas, Ketereh, Baling, Gerik, Arau, Gua Musang dan Padang Besar.

Lebih mengejutkan, kerusi disandang pemimpin utamanya seperti Naib Presiden Umno, Datuk Mahadzir Khalid di Padang Terap dan Bendahari Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Putrajaya, turut tewas kali ini.


Semua kerusi yang tewas itu dirampas Perikatan Nasional (PN).

Setakat jam 2 pagi ini, beberapa kerusi yang sudah dimenangi BN antaranya di Parlimen Bera, Bagan Datuk, Rembau, Sembrong, Ayer Hitam, Tenggara, Kota Tinggi, Tanjung Piai, Pengerang dan Pontian.

BN juga berjaya merampas kerusi Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) termasuk Titiwangsa dan Simpang Renggam. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram