Kuala Lumpur: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin, hari ini menyuarakan hasrat memimpin Umno dan seterusnya menjadi Perdana Menteri satu hari nanti.
Pertama kali menyatakannya secara terbuka, Khairy menggunakan pentas ceramah program di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh, malam tadi, bagi meraih sokongan pengundi di Parlimen itu untuk memilihnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.
"Kalau orang Sungai Buloh menangkan saya, Sungai Buloh bukan hadnya. Saya bawa orang Sungai Buloh, satu hari nanti, kita pimpin Malaysia... Insya Allah.
"Dengan takdir Allah SWT, dengan sokongan daripada rakan, satu hari nanti, saya mahu memimpin Umno. Satu hari nanti, saya mahu menjadi Perdana Menteri anda untuk membangunkan negara ini, tapi saya mesti menang di sini dulu.
"Tidak pernah saya cakap tuan-tuan. Kalau saya cakap begitu, semua MT (Majlis Kerja Tertinggi Umno) nak 'keratkan' saya, tapi sudah tiba masanya saya menyatakannya," katanya, disambut tepukan dan sorakan daripada penduduk yang hadir.
Bagaimanapun, Menteri Kesihatan itu menjelaskan, bukan hasrat beliau untuk menjawat kedudukan itu ketika ini kerana jika BN menang pada PRU ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang disifatkan beliau sebagai kekandanya, akan menjadi Perdana Menteri.
"Usia saya 46 tahun, boleh tunggu lagi, tapi jangan lama sangatlah. Saya sedia tapi saya kena buktikan di Sungai Buloh ini dulu.
"Kalau orang Sungai Buloh sokong saya, saya boleh maklumkan kepada orang parti, saya datang ke kandang naga dengan majoriti 26,000 dan saya menang kerusi untuk BN.
"Saya mahu memimpin parti dan saya mahu menerajui negara," katanya. – Hmetro
ARTIKEL BERKAITAN:
- #PRU15: 'Saya mahu jadi Presiden Umno, PM' – KJ
- #PRU15: 'Saya ditinggalkan begitu saja' – KJ
- ‘Parti sudah sesat, saya reformis Umno’, kata KJ
- #PRU15: 'Umno tak rosak, jangan salah faham' – KJ
- #PRU15: 'Khairy patut berterima kasih pada saya' – Ahmad Zahid
- #PRU15: Kalau nak tanam KJ kita letak di Bukit Bintang – Tok Mat
Join our Telegram Channel