#PRU15: Shahidan tak peduli dipecat



Arau: Penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga calon Perikatan Nasional (PN) tidak peduli sekiranya beliau dipecat daripada Umno.

Menteri Wilayah Persekutuan itu sebaliknya berkata, gerakan untuk memartabatkan perpaduan ummah menerusi undi Umno, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang giat dijalankan olehnya.

"Kempen berjalan dengan lancar dan sebagaimana saya sudah sebutkan bahawa InsyaAllah gerakan untuk memartabatkan perpaduan ummah menerusi Umno, Pas dan Bersatu duduk di bawah satu bumbung sedang diusahakan.

"InsyaAllah kita akan mula gerakan di Arau di mana orang Umno, Pas dan Bersatu akan sokong saya dan ini akan menampakkan bahawa jumlah yang kita dapat nanti bahawa orang mahu kepada perpaduan ummah di Arau," katanya kepada pemberita ketika ditemui melakukan kempen secara santai bertemu pengundi di Kampung Mengkuang Layar, Tambun Tulang, di sini.


Mengulas mengenai keputusan Umno yang bakal memecatnya bersama penyandang kerusi Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib dan penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang bertanding atas tiket PN dan Bebas, beliau berkata, tindakan sewajarnya dikenakan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Sewajarnya Presiden Umno yang dipecat kerana dirinya sendiri yang buat khianat disebabkan tidak ikut keputusan Top 5.

"Apa hebatnya dia (Zahid) dan kita takut parti ini (Umno) memberi perlindungan kepada perasuah seperti dia berdasarkan apa yang dia beritahu dalam perhimpunan MIC baru-baru ini. Dia menyatakan bahawa Timbalan Presiden Umno, MCA dan MIC perlu beri kemenangan kepada BN kerana mereka semua akan dihadapkan ke mahkamah atas kes rasuah yang mereka dijangka hadapi," katanya.

Shahidan berkata, Zahid juga tidak perlu memberi amaran kepadanya sebaliknya beliau yang perlu 'cermin' dirinya sendiri dan bertanya adakah beliau ikhlas dalam memperjuangkan parti.


"Dalam masa sama juga saya agak pelik melihat tidak banyak calon BN ini yang secara naratifnya memperakukan Datuk Ismail Sabri Yaakob sebagai 'poster boy' dan calon Perdana Menteri bagi BN.

"Semua parti termasuk PN, Pakatan Harapan (PH) sudah menyatakan calon Perdana Menteri masing-masing seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim namun puak (BN) ini bagaikan senyap dan tidak berani untuk menyatakan pendirian mereka," katanya.

Terdahulu, Shahidan berjalan secara santai bertemu dengan penduduk di kampung berkenaan bersama dengan jentera PN.

Dalam PRU kali ini, Shahidan berhadapan dengan cabaran daripada calon BN, Datuk Rozabil Abd Rahman dan calon muda PH, Fatin Amelina Fazlie bagi kerusi Parlimen Arau. – Hmetro


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram