#PRU15: 'Umno tak rosak, jangan salah faham' – KJ



Sungai Buloh: Khairy Jamaluddin menegaskan kenyataannya mahu 'membersihkan' Umno bukan bermaksud parti itu rosak, sebaliknya mahu melihat kebangkitan generasi pemimpin muda dan baharu.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh itu, berkata generasi baharu mesti memberi aspirasi kepada orang ramai bahawa Umno sedang berubah dengan penampilan calon muda dan baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Maksudnya, Umno dan BN adalah pilihan terbaik, tapi orang ramai hendak melihat kepada generasi baharu, kepimpinan baharu dalam Umno, itu maksud saya.


"Bukan saya maksudkan parti itu rosak, parti tidak rosak, cuma kita hendak melihat satu kebangkitan generasi kepemimpinan yang baharu dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai pemimpin kita.

"Di belakang beliau pelapis pemimpin muda.. saya dan rakan-rakan.. ramai calon muda kali ini, kalau kita lihat, generasi baharu ini mesti bagi aspirasi kepada orang ramai bahawa Umno sedang berubah dengan calon-calon muda baharu, dengan saya hendak bersama mereka.

"itu yang saya maksudkan, jangan salah faham seolah-olah Umno itu sesuatu yang sudah rosak, sekarang ini kita hendak melihat perubahan wajah kepimpinan dan kita sudah menawarkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kita," katanya kepada media selepas program ramah mesra bersama pelajar tahfiz Darul Ulum az-Zahra di sini hari ini.

Khairy ketika berucap di satu majlis silaturahim malam tadi di sini secara terbuka mengakui tidak menggemari segelintir pemimpin Umno dan mahu 'membersihkan' parti itu, jika berjaya menawan Parlimen Sungai Buloh pada PRU-15.


Beliau dalam nada sinis menegaskan semua pihak perlu mengakui Umno perlu berubah untuk kembali menjadi parti yang boleh dibanggakan dan menjadi wadah politik terbesar seperti suatu ketika dulu.

Katanya, antara lain mengakui ada percaturan lebih besar selepas berjaya menawan Sungai Buloh, iaitu membawa perubahan kepada negara, Umno dan BN, supaya masyarakat Melayu mempunyai wadah politik yang boleh dibanggakan dan terbesar di Malaysia.

Sementara itu mengulas lawatan ke pusat tahfiz berkenaan, Khairy berkata, dalam manifesto Kata Janji beliau, salah satu komitmen adalah penyediaan kelas pengajian al-Quran melalui platform digital.

"Jadi ini adalah satu peluang untuk bergabung dengan tahfiz supaya mereka boleh kendalikan kelas atas talian dan kita bekerjasama dengan mereka untuk orang ramai.


"Guna aplikasi Zoom untuk pelajari bacaan al-Quran, ajak alumni sekolah tahfiz ini untuk mengendalikan kelas ini yang akan diselaraskan di bawah pejabat saya nanti," katanya.

Beliau berkata, bantuan peruntukan juga akan diberikan kepada pusat tahfiz bertauliah sekitar Sungai Buloh bagi meningkatkan prasarana dan kemudahan pelajar.

"Masalah keperluan asas dan infrastruktur menjadi penekanan, itu kita boleh bantu melalui sumbangan dan peruntukan, mereka perlukan wakil rakyat yang memahami apa yang mereka mahu.

"Saya sejak di Parlimen Rembau memang memberi bantuan dan peruntukan untuk pusat tahfiz di sana, di Sungai Buloh pun banyak pusat tahfiz yang beroperasi secara bertauliah," katanya. – Hmetro




Join our Telegram Channel
Telegram