Tak cukup sokongan: Istana perintah ketua PH, PN menghadap



KUALA LUMPUR: Ketua Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional diperintah menghadap Yang di-Pertuan Agong petang ini juga, selepas Istana Negara mendapati tiada seorang pun Ahli Parlimen peroleh kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk menjadi perdana menteri.

Perkembangan ini tidak lama selepas Barisan Nasional mengumumkan ia tidak menyokong Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

“Setelah dipersembahkan hasil pengesahan calon perdana menteri, didapati tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai perdana menteri.


“Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal perdana menteri ke-10 selesai,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin.

Dalam kedudukan sekarang, PH memiliki wakil rakyat terbanyak iaitu sebanyak 82 orang berbanding 73 orang PN.

Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob mendedahkan BN tidak menyokong PH mahupun PN untuk membentuk kerajaan, dan akan kekal sebagai pembangkang.

Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN mengumumkan kedudukan gabungan itu “kekal seperti sekarang”, namun ia sedia berbincang dengan pihak lain apabila perlu, agar kerajaan dapat dibentuk. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram