Seorang penceramah bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Klang
hari ini atas sembilan pertuduhan merogol, amang seksual dan melakukan
hubungan seks dengan objek terhadap seorang remaja antara Jun 2021 dan
Februari lepas.
Muhammad Fathi Na’im Mazlam, 30, atau lebih dikenali sebagai Ustaz Fathi Naim,
membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan
Hakim Syafeera Mohd Said.
Mengikut pertuduhan, suami kepada tiga isteri itu didakwa terhadap tujuh
pertuduhan merogol dan masing-masing satu bagi pertuduhan melakukan amang
seksual serta hubungan seks dengan objek terhadap seorang remaja perempuan
yang kini berusia 14 tahun.
Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu dalam sebuah kereta jenis Toyota
Vellfire di hadapan surau dan di parkir Dataran Eco World selain dalam sebuah
hotel di sekitar Bandar Puncak Alam dekat sini, antara Jun 2021 dan Februari
lepas.
Bagi kesalahan merogol dan melakukan amang seksual, bapa lapan anak itu
didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta
Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017, masing-masing
memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan
sebat, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan melakukan hubungan seks dengan objek, lelaki itu didakwa
mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara
minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ku Hayati Ku Haron yang juga merupakan
Pengarah Pendakwaan Selangor menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang
penjamin bagi setiap pertuduhan.
“Saya juga memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh
dilarang mendekati dan menghubungi mangsa dalam kes ini,” katanya yang turut
dibantu TPR Aqharie Durranie dan TPR Nurul ‘Izzati Mohamad.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Samry Masri merayu kepada mahkamah
agar anak guamnya dikenakan jaminan rendah iaitu mengikut kes dan bukan
mengikut pertuduhan yang dituduh dengan alasan lelaki itu adalah penanggung
utama keluarga.
“Sebelum ditangkap tertuduh adalah penceramah bebas dan selepas kes ini tular,
dia hilang punca pendapatan. Tertuduh juga mempunyai tiga isteri dan lapan
anak berusia satu hingga 11 tahun selain menanggung kedua-dua ibu bapa yang
telah tua.
“Selain itu, tertuduh kini menghidapi sakit ‘slipped disc’ dan sedang
menjalani rawatan dari semasa ke semasa,” katanya.
Syafeera kemudian membenarkan Muhammad Fathi Na’im diikat jamin RM40,000
dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta syarat tambahan perlu
melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali serta tidak
mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 10 Jan tahun depan untuk sebutan semula kes. – Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:
- Penceramah popular ditahan disyaki rogol remaja 14 tahun
- “Saya berzina berkali-kali” pendedahan tergempar dari Ustaz Fathi Naim
- Penceramah bebas rogol di KL dan Perak sejak Mei tahun lepas – mangsa
- “Mungkin ustaz F&N yang dirogol” – Netizen kecam kenyataan Pengerusi Kem Tahfiz
- Rogol bawah umur, Ustaz popular direman lagi
- Ramai follower IG saya tak tutup aurat, dapat dosa berterusan – Ustaz Fathi Naim
- Ustaz Fathi Naim didakwa 9 pertuduhan rogol, amang seksual, seks dengan objek
- Penceramah Fathi Na’im didakwa lagi
Join our Telegram Channel