Anwar mahu Syed Mokhtar, Bernas 'henti hisap darah' pesawah miskin



Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini menegur Syed Mokhtar Al-Bukhary kerana syarikatnya, Bernas memonopoli import beras.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan di bawah pimpinannya tidak akan lagi mengizinkan cara pembolotan kekayaan oleh tokoh-tokoh politik dengan mudah dan “menghisap darah” pesawah padi miskin.

"Untuk berlaku adil kita harus tahu kebenaran import bukan konsesi dan bukan dianugerahkan kepada beliau tetapi dianugerah kepada syarikat Bernas yang pada ketika itu dipunyai oleh Tan Boon Seng dan Shahidan Kassim," katanya yang dipetik oleh Bernama.


Dia berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet Khas di Putrajaya hari ini. 

Anwar juga dipetik sebagai berkata Syed Mokhtar telah membeli kepentingan syarikat Bernas sebanyak 31 peratus daripada Tan sekitar RM800 juta dan pegangan saham yang dipunyai Shahidan pula adalah pada RM400 juta.

Bagaimanapun, perdana menteri berkata, Syed Mokhtar tidak boleh dibebankan sehingga kerajaan dapat meneliti keuntungannya sama ada pulangan itu berpatutan atau tidak.

"Saya telah gesa beliau untuk berbuat sesuatu segera maka peruntukan sekarang bulan ini RM10 juta kepada pesawah padi dan mulai tahun depan RM50 juta daripada Bernas," katanya.


Menyatakan pendirian kerajaan pimpinannya, Anwar berkata dasar-dasar yang baik kerajaan terdahulu akan diteruskan termasuk sistem kontrak yang telus.

“Dasar-dasar yang baik, kontrak (telus) kita tiada masalah, ini kerajaan yang teruskan sistem, tetapi kita tegas dalam membuat perubahan, tender tidak ikut perolehan, projek tak ikut prosedur harus kita teliti semula,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata rang undang-undang yang sedang dibahaskan di Parlimen ketika kerajaan terdahulu, jika ia memberi kebaikan kepada negara juga akan diteruskan sambil menyatakan ia akan diteliti oleh kementerian berkaitan. – Mkini


Pesawah akan terima RM60 juta


Perdana Menteri Anwar Ibrahim melaksanakan gesaan yang pernah disuarakannya enam bulan lalu, iaitu agar Padiberas Nasional Bhd (Bernas) berkongsi keuntungan dengan pesawah miskin di negara ini.

Dalam sidang media hari ini, Anwar berkata dia telah "menegur" pemilik Bernas - hartawan Syed Mokhtar Al-Bukhary - berhubung monopoli import beras oleh Bernas, dan syarikat itu akan membuat pembayaran kepada pesawah.

"Kita tak boleh bebankan seorang (iaitu) Syed Mokhtar sehingga kita dapat teliti sama dan keuntungan dan pulangan dia berpatutan.

"(Tetapi) saya gesa untuk dia lakukan sesuatu dengan segera, dan dia akan peruntukkan RM10 juta kepada pesawah padi miskin, bulan ini juga.

"Mulai tahun depan, (peruntukan kepada pesawah miskin) RM50 juta dari Bernas," katanya.


Syed Mokhtar memiliki 92 peratus saham Bernas yang dibelinya daripada Shahidan Kassim dan ahli perniagaan Tan Boon Seng pada 2014.

Anwar berkata dia memahami Syed Mokhtar mungkin masih ada baki pembayaran untuk dibuat berkaitan pembelian pegangan itu, pada masa sama menegaskan kerajaan tidak akan benarkan "pembolotan kekayaan" oleh ahli politik dan kalangan yang dekat dengan mereka dengan "menghisap darah pesawah padi yang miskin".

"Ini yang kita katakan tata kelola (governance), bukan slogan Melayu dan Islam (sahaja) tetapi pelaksanaan (dasar)," katanya lagi.

Berkenaan kekurangan bekalan telur, Anwar berkata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengumumkan langkah untuk menjamin bekalan mencukupi dengan harga lebih rendah, esok.

Katanya, ia dilakukan dengan mengurangkan kebergantungan terhadap "kartel". – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram