Arab Saudi mahu bina bangunan tinggi 2 kilometer



LONDON – Berdiri enam kali ganda lebih tinggi daripada bangunan The Shard, London dan dua kali lebih tinggi daripada Gunung Snowdon, Arab Saudi mampu untuk membina struktur ‘Megascraper’ atau bangunan tertinggi di dunia, lapor portal berita The Sun semalam.

Rancangan sedang dirangka untuk membina menara setinggi 2,000 meter yang akan menjadi pusat pembangunan semula besar-besaran di ibu kota Saudi, Riyadh sekali gus akan menjadi salah satu struktur buatan manusia terbesar sepanjang zaman.

Bangunan itu akan menelan kos anggaran sebanyak £4 bilion (RM21.76 bilion) untuk dibina dan membuka ruang kepada pereka bentuk bagi mencipta struktur mega dalam satu pertandingan reka bentuk.


Struktur mega itu akan memiliki tinggi lebih dua kali ganda daripada bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa di Dubai, Emirah Arab Bersatu (UAE), lapor syarikat media MEED.

Jika siap dibina, struktur tersebut akan menyebabkan bangunan tertinggi di Amerika Syarikat (AS) dan Britain bakal menjadi kerdil.

Ini adalah kerana bangunan tersebut akan menjadi hampir empat kali ganda lebih tinggi daripada One World Trade Centre dan 20 kali ganda ketinggian Big Ben di London.

Majlis Bangunan Tinggi dan Habitat Bandar mentakrifkan bangunan ‘supertall’ atau dianggap ketinggian luar biasa apabila mencapai ketinggian melebihi 300 meter.


Struktur lebih 600 meter pula dilabel ‘megatall’ atau bangunan mega, menurut majlis bangunan tersebut.

Walaupun terdapat 173 bangunan dengan ketinggian luar biasa, kini hanya terdapat empat struktur mega tertinggi di dunia iaitu Burj Khalifa(Dubai); Merdeka 118 (Kuala Lumpur); Menara Shanghai (Shanghai) dan Menara Jam Diraja Mekah.

Lapan firma telah dijemput untuk menyertai pertandingan reka bentuk yang dijalankan oleh Public Investment Fund (PIF) atau Tabung Pelaburan Awam, Arab Saudi. – AFP

 

Join our Telegram Channel
Telegram