BN Sabah dipinggirkan – Bung Moktar



Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) Sabah berasa tersisih atau dipinggirkan dalam pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan apabila tiada seorangpun daripada tujuh ahli Parlimennya dilantik sebagai menteri penuh.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menyifatkan dua menteri mewakili Sabah, masing-masing dari Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) selaku komponen Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah terlalu kecil.

Katanya, jumlah itu tidak seimbang berbanding negeri jiran, Sarawak yang mendapat lima portfolio termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kedua.


"Pembentukan Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan persekutuan ini nampaknya menyaksikan Sabah dipinggirkan dalam pelantikan portfolio khususnya wakil daripada BN Sabah yang memberikan komitmen awal bersama BN Pusat untuk menyokong PH menjadi kerajaan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

"Tiada seorangpun wakil dari BN Sabah dalam Kabinet baharu ini. Berbanding Sarawak, mereka ada lima menteri," katanya dalam kenyataan media berhubung pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diumumkan malam tadi.

BN Sabah memenangi paling banyak kerusi Parlimen di Sabah dengan tujuh kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), diikuti GRS (enam), PH (lima), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta masing-masing satu Perikatan Nasional (PN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).


BN Sabah turut menyumbang kerusi kedua terbanyak selepas BN Johor daripada 30 kerusi dimenangi BN di seluruh negara pada PRU-15.

Perdana Menteri, malam tadi mengumumkan barisan Kabinetnya yang mengandungi 28 menteri termasuk dua TPM yang masing-masing disandang Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mewakili BN dan Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sabah hanya diwakili Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick (PH-Upko) yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali (GRS) yang memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak). – Hmetro




Join our Telegram Channel
Telegram