Buktikan dana PRU dari judi atau kami saman – Pas



KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dituntut mengemukakan bukti atas dakwaaan beliau kononnya dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) datang dari syarikat perjudian.

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya amat kesal dengan tuduhan berunsur fitnah itu yang dilemparkan Perdana Menteri dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet semalam.

”Tuduhan tersebut langsung tidak berasas dan Pas menuntut Perdana Menteri memberikan bukti yang nyata terhadap tuduhan liar tersebut jika ada.


”Sekirannya gagal Perikatan Nasional akan meneliti suatu tindakan perundangan terhadap pihak-pihak yang memfitnah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Anwar yang juga Menteri Kewangan membayangkan dana pilihan raya umum ke-15 yang digunakan oleh Perikatan Nasional datang dari sumber perjudian.

“Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

“Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana datang dari syarikat judi,” katanya. — MG



Join our Telegram Channel
Telegram