Demi rakyat, PH sedia berdamai dengan BN, kata Amirudin



PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Pahang sedia melupakan perseteruan lama dengan Barisan Nasional (BN) demi kestabilan rakyat, kata pengerusinya, Amirudin Shari.

Justeru, Amirudin dengan terbuka hati memulakan salam perdamaian selepas dua gabungan itu bersetuju menubuhkan kerajaan perpaduan tanpa syarat.

“Saya percaya kehadiran saya dan Abang Mat (Mohamad Sabu) serta pemimpin PH lain, datang dengan hati terbuka dan tulus ikhlas di Pahang.


“Kita bersedia melupakan pertelagahan atau perseteruan lama demi rakyat khususnya seluruh orang di Pahang termasuk penduduk di DUN Tioman pada malam ini (semalam),” katanya menurut Sinar Harian.

Amirudin menyampaikan ceramah umum sempena kempen pilihan raya DUN Tioman di Pasar Besar Rompin semalam.

Ceramah julung kali diadakan secara bersama itu turut dihadiri Pengerusi BN Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Khairuddin Aman Razali.

“Siapa yang kita menentang dahulu, kita kena lupakan semua perbezaan itu. Saya dah pesan dengan Abang Mat jangan tersasul. Kalau tersasul dia sebut Umno susah la nanti.”


“Perbezaan itu bukan masalah. Kita diahirkan berbeza, berpuak atau di dalam kelompok yang mana satu (berbeza) untuk apa…untuk kita berkenalan-kenalan dan kenalan yang dicari adalah untuk titik kebaikan serta kebersamaan,” kata Amirudin.

Keputusan PRU lalu menyaksikan BN menang 16 kerusi DUN manakala PH, lapan kerusi. Baki 17 kerusi lagi dimenangi Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, BN dan PH menyatakan kesediaan membentuk kerajaan negeri, mengambil kira kerjasama di peringkat persekutuan. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram