KUALA SELANGOR: “Selain jeritan kuat, saya terdengar bunyi besi tercabut dan seterusnya melihat dua mangsa sudah tercampak jauh,”.
Demikian kata Nurazliyana Zulkiffle, 17, saksi kejadian insiden menimpa kakak dan adik lelakinya yang cedera terjatuh daripada permainan di tapak pesta ria Bandar Puncak Alam di sini, malam tadi.
Menurutnya, ketika kejadian dia bersama adiknya, Nurazriyanie, 15, turut menaiki ‘Sotong Ride’ tersebut di dalam sebuah gerabak lain.
“Pada waktu itu, adik saya iaitu Shah Faraz Aiefan, 11, dan kakak sulung, Noraziera, 31, berada di gerabak hadapan kami. Namun, selepas tiga kali pusingan, kami terkejut apabila besi keselamatan itu dipercayai tercabut hingga menyebabkan mereka tercampak keluar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kuching, Jeram di sini, petang tadi.
Jelas Nurazliyana, dia ketika itu dapat mendengar dengan jelas suara mangsa menjerit kesakitan.
“Selepas permainan itu dihentikan, saya bergegas mencari adik dan kakak yang mengalami kecederaan. Tidak lama kemudian, mereka terus dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut,” ujarnya.
Sementara itu, Nurazriyanie berkata, kejadian berkenaan berlaku dalam sekelip mata dan amat pantas.
“Kami sememangnya sudah lama mahu pergi ke pesta ria itu namun tertangguh kerana faktor hujan. Saya tidak sangka insiden malang sebaliknya berlaku dan menjadi igauan paling buruk dalam hidup,” luahnya.
Tambahnya, dia ketika kejadian menangis melihat keadaan mangsa dan bersyukur tiada kecederaan lebih teruk dialami mereka.
Insiden malang itu mengakibatkan Shah Faraz cedera di muka dan kaki manakala Noraziera terhentak di kepalanya. – Utusan
ARTIKEL BERKAITAN:
Please subscribe
Join our Telegram Channel