Insya-Allah Zahid bakal jadi TPM, kata sumber Umno



Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, hampir pasti menganggotai kabinet pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan jawatan sebagai timbalan perdana menteri.

Menurut sumber dalaman Umno, ahli Parlimen Bagan Datuk itu dicalonkan parti terbabit untuk memegang jawatan berkenaan selaras dengan kedudukannya selaku ketua parti.

"Hampir pasti presiden Umno akan jadi timbalan perdana menteri, insya-Allah. Itu saja saya boleh cakap," katanya kepada .

Jika ia menjadi kenyataan, Ahmad Zahid akan menjawat tugas sebagai timbalan perdana menteri buat kali kedua.


Kali pertama dia menjadi timbalan perdana menteri ialah semasa kerajaan dipimpin Najib Razak.

Sebelum ini, spekulasi memang sudah bertiup kencang dengan mengaitkan Ahmad Zahid sebagai timbalan Anwar selaras dengan peranan serta sokongan tokoh terbabit kepada presiden PKR itu menjadi perdana menteri.

Beberapa pemimpin Umno seperti Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Razlan Rafii, turut berpendapat Ahmad Zahid wajar mendapat jawatan berkenaan bagi menstabilkan kerajaan.

Semalam bekas setiausaha agung Umno, Annuar Musa, berkongsi pandangan sama dengan merujuk kepada kedudukan Ahmad Zahid sebagai pemimpin tertinggi dalam hierarki parti.


Katanya, perdana menteri tidak boleh memandang enteng sokongan Umno yang membolehkan terbentuknya kerajaan perpaduan.

Pagi tadi perdana menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara dipercayai bagi mempersembahkan barisan kabinet kerajaan pimpinannya.

Senarai Kabinet dijangka akan diumumkan perdana menteri petang nanti selepas mendapat perkenan Agong.

Seorang lagi sumber yang rapat dengan presiden Umno turut mengesahkan Ahmad Zahid dicadangkan sebagai timbalan perdana menteri.


"Ya, nama presiden dicadangkan sebagai timbalan perdana menteri," katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, sumber memberitahu Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan turut ada dalam senarai kabinet Anwar.

Selain Mohamad turut dijangka mendapat tempat ialah Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Johari Abdul Ghani.

Difahamkan BN akan mendapat lima jawatan menteri dan enam timbalan menteri. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram