Menteri KKOM gesa Sanusi disiasat isu pengundi tuntut 'duit minyak'



Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil menggesa pihak berkuasa menyiasat Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor atas dakwaan membeli undi.

Ia selepas Sanusi dalam satu ceramah di Padang Serai, Kedah pada Jumaat lalu, membidas penyokong PN yang meminta "duit minyak" untuk pulang mengundi dalam pilihan raya di situ.

Dalam ceramah itu, Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PN berkata para pengundi tidak boleh berkira.

"Undi kita penting, jangan kira duit minyak. RM50, RM100, RM200, toksah dok kira. 


"(Pihak) yang lawan kita balik dari Taiwan, China, Singapura, Amerika, Australia, duit tambang sekupang pun tak minta. Mereka undi PH, jahanamkan kita.

"Hangpa (minta) RM50...buat video, tunjuk kat korang. Malu!" tegasnya.

Dia juga mendakwa ada yang berjumpa dengan Adun untuk meminta RM50, sambil mengancam untuk tidak pulang mengundi jika tidak menerimanya.

"Hang bodoh," katanya.

Ekoran sikap berkira itu, dakwanya, "kemenangan kita (PN) dirampas begitu saja".


Video dakwa beli undi


Terdahulu, sejumlah video dan gambar yang didakwa menunjukkan ada pengundi yang menerima bayaran kerana mengundi PN, disebarkan di media sosial.

Ia termasuk video yang menunjukkan seorang individu dengan dakwat kekal di jarinya, diiringi kata-kata "RM100 je, hari tu kata RM350".

Video itu turut menunjukkan rakaman di lokasi lain, yang menunjukkan orang ramai menunggu di depan sebuah bangunan dan didakwa sedang menunggu bayaran dari PAS.

Namun, ada yang menyatakan rakaman itu adalah ketika pengagihan bantuan wang tunai i-Belia oleh kerajaan Terengganu sebelum hari mengundi, apatah lagi rakaman itu turut menunjukkan kehadiran polis yang berkawal.

Sebelum ini, Sanusi menafikan PAS memberi wang kepada pengundi pada PRU lalu, dengan berkata parti itu tiada wang sebanyak itu untuk diberikan.


'Polis, SPR patut siasat'


Mengulas ceramah Sanusi itu, Fahmi berkata polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) patut menyiasat pemimpin PAS itu atas kenyataan yang dibuatnya.

"Ucapan dia sangat bahaya dan wajar disiasat.

"Apa yang saya risaukan adalah politik wang semakin menjadi-jadi, seolah-olah dihalalkan dengan (menggunakan) terma atau takrif (tertentu)," katanya.

Ketika kempen PRU15, DAP Pulau Pinang juga menawarkan untuk membayar semula tiket bas dan kereta api kepada pelajar yang pulang untuk mengundi.

Bagaimanapun, tawaran itu dibatalkan hanya sehari kemudian ekoran bimbang ia dianggap sebagai langkah membeli undi. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram