KLANG – Penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman didakwa lagi atas tiga
pertuduhan amang seksual dan satu kelucahan melampau terhadap tiga remaja
lelaki di dua mahkamah berasingan di sini, hari ini.
PU Azman atau nama sebenarnya, Azman Syah Alias, 41, bagaimanapun mengaku
tidak bersalah atas semua pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen dan Majistret itu.
Di hadapan Hakim Syafeera Mohd. Said, tertuduh yang lebih dikenali dengan
panggilan Cik Man dituduh dua kes amang seksual fizikal di sebuah inap desa di
Sungai Udang di sini masing-masing pukul 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20
Februari serta 29 Jun lalu.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual
terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh
juga dikenakan hukuman sebat, sekiranya disabitkan kesalahan bagi setiap
pertuduhan.
Azman Syah yang masih bujang itu juga didakwa menggalakkan komunikasi secara
seksual melalui aplikasi WhatsApp dengan dituduh mengikut Seksyen 11 (1)(b)
akta kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan
hukuman penjara sehingga tiga tahun.
Perbuatan itu antara pukul 4 petang hingga 7.30 malam di sebuah rumah di
Kampung Meru di sini pada 16 Ogos lalu.
Ini melibatkan dua mangsa yang merupakan remaja lelaki berusia 17 tahun.
Cik Man juga didakwa di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd. Rasid atas
tuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki
lain berusia 19 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek kira-kira pukul
9.15 malam pada 10 Jun lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 377d Kanun Keseksaan yang boleh
dipenjara sehingga dua tahun sekiranya disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar dan
Azman Syah diwakili Peguam Fahmi Adilah.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan keseluruhan RM24,000 bersama penjamin
dan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa, keluarga dan saksi pendakwaan
selain melapor diri di balai polis berhampiran rumah setiap awal bulan bermula
bulan ini.
Sebutan semula bagi kesemua kes ditetapkan pada 12 Januari tahun depan.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Selebriti ditahan dakwaan amang seksual remaja
- Mangsa amang seksual kenal suspek melalui program motivasi
- Kes amang seksual remaja lelaki, nama PU Azman dipetik netizen
- Enam laporan polis ke atas pendakwah selebriti
- Polis N Sembilan terima 2 laporan kes pendakwah selebriti amang seksual remaja
- PU Azman tidak muncul program setiap jumaat di Suria FM
- PU Azman muncul selepas sebulan ‘hilang’, makin cengkung
- PU Azman didakwa lakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki (7 gambar)
- PU Azman didakwa lagi amang seksual, kelucahan melampau
- PU Azman dituduh lagi lakukan amang seksual terhadap remaja
- PU Azman berdepan 2 lagi tuduhan jenayah seksual
Join our Telegram Channel