Remaja mengaku salah rogol adik kandung



KUALA TERENGGANU : Seorang remaja lelaki berdepan hukuman penjara dan sebat selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan merogol adik kandungnya pada Mei dan November lalu.

Tertuduh yang berusia 18 tahun membuat pengakuan bersalah itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman di sini, hari ini.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Januari tahun depan sebagai tarikh pendengaran fakta kes dan jatuh hukum terhadap tertuduh yang juga seorang penganggur.


Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh dituduh merogol adik perempuan kandungnya berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kuala Nerus dekat sini antara pukul 2 sehingga 3 petang, Mei lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dituduh mengulangi perbuatan terkutuk itu ke atas mangsa yang sama di lokasi sama kira-kira pukul 3.30 petang, 5 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lapan sehingga 30 tahun serta sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.


Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram