ALOR SETAR: Pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengaitkan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dengan pemilikan saham Padiberas Nasional Berhad (Bernas) RM400 juta disifatkan tidak benar.
Shahidan turut mempersoal tindakan Anwar yang mendedahkan hanya beberapa nama terlibat dalam pembelian saham berkenaan selain mengumumkan secara terbuka butiran syarikat itu yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia.
Menurutnya, penjelasan berhubung isu berkenaan hanya akan dilakukan kemudian dan kemungkinan dalam persidangan Parlimen akan datang.
“Saya tidak ada saham dalam Bernas, pemilik Bernas yang perlu jawab isu terbabit.
“Pendedahan Anwar itu tidak benar. Insya-Allah saya akan berikan jawapannya di Parlimen nanti. Sepatutnya Anwar beri perhatian pulihkan negara berbanding korek hal-hal seperti itu. Kalau nak korek, korek semualah sebab Bernas syarikat yang disenaraikan, ini ialah pembelian saham dalam syarikat yang disenaraikan, apa kesalahannya?,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Pada Isnin, Anwar menegur Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang didakwa mempunyai monopoli terhadap import beras. Anwar turut dedahkan Syed Mokhtar telah membeli Bernas daripada Tan Sri Tan Boon Seng sebanyak 31 peratus (sekitar RM800 juta) dan RM400 juta daripada syarikat milik Shahidan.
Bagaimanapun Shahidan mempersoal kewajaran Anwar yang bertindak hanya menyebut namanya sedangkan terdapat lebih 1,000 syarikat disenaraikan.
“Beli saham dalam pasaran perlu cerita semuakah? Sebut semualah, kenapa hanya nama saya diberikan perhatian. Bukan setakat tidak benar tetapi bolehkah Perdana Menteri ceritakan pembelian saham dalam syarikat disenaraikan secara terbuka?
“Saya sedang dapatkan nasihat perundangan sebab ini ialah syarikat disenaraikan, apakah boleh syarikat disenaraikan kita bincang secara terbuka. Kalau ya, saya ingat eloklah cerita semua syarikat yang ada,” soalnya lagi.
Menurutnya, pendedahan tersebut juga telah mengaibkan dirinya kerana merupakan suatu tuduhan tidak tepat.
“Saya nak bagi tahu tuduhan tersebut tidak benar, ia melibatkan sebuah syarikat kerajaan yang diswastakan dan adalah syarikat yang disenaraikan. Pembelian saham bukan ada hubung kait dengan kerajaan.
“Siapa yang hisap duit rakyat? Bernas tak hisap duit rakyat, Bernas hanya berniaga. Isu ini merugikan masa saya, sepatutnya saya fokus kepada masalah rakyat dan kebangkitan Perikatan Nasional (PN) yang luar biasa,” ujarnya.
Shahidan turut menasihatkan agar Anwar memberi tumpuan kepada usaha untuk membela rakyat berbanding isu seumpama.
“Perkara itu melibatkan perundangan dan sebuah syarikat yang disenaraikan, perkara berlaku sudah berpuluh tahun. Kenapa saya yang dipersalahkan, sekarang bukan saya tuan punya Bernas.
ARTIKEL BERKAITA:
- Anwar mahu Syed Mokhtar, Bernas 'henti hisap darah' pesawah miskin
- Tular kembali skandal Bernas dikaitkan dengan Shahidan, Mahathir
- Saya tidak ada saham dalam Bernas – Shahidan
Join our Telegram Channel