‘Tidak sesuai dengan prinsip’, Jamal Abdillah tarik diri dari Muafakat Nasional



Kuala Lumpur: Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah, 63, mengumumkan pengundurannya dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muafakat Nasional (MN) disebabkan merasa prinsip dirinya tidak sesuai terbabit perihal sebegitu.

Jamal berpendapat, dia perlu tunjukkan dirinya neutral (semulajadi) dalam hal-hal semasa dan ingin melontarkan pendapat peribadinya tanpa mewakili mana-mana pihak tertentu.

"Saya dengan rasa rendah diri ingin menarik diri dan politik tidak sesuai dengan prinsip saya sebagai penghibur. Saya menginginkan semua orang menyukai saya yang mana, peminat saya juga berada dalam parti-parti politik, sedangkan ramai meminta saya menarik diri.


"Keluarga, sahabat dan peminat-peminat mohon saya melakukan itu. Saya pun berpendapat lebih baik saya neutral dan kalau ingin melontarkan pandangan, biarlah dengan cara yang tersendiri," katanya.

Penyanyi Sepi Seorang Perindu itu bagaimanapun sangat terharu mendapat pelawaan menyertai MN sebelum ini. Katanya, dia memang sokong sesiapa juga yang perjuangkan kemakmuran Malaysia.

"Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada pihak-pihak yang menjemput saya menyertai MN dan yakin dengan diri saya. Memang sebagai bapa dan ketua keluarga, tiada lain yang saya inginkan untuk negara yang tercinta melainkan sebuah negara aman, bersatu padu, makmur, dan sejahtera," katanya.


Terdahulu, Jamal menyambut baik perlantikannya sebagai antara 30 individu dipilih Ahli Dewan Tertinggi MN dan berkata, Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa sendiri menjemputnya menyertai NGO itu.

Mereka yang dilantik terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti profesional, ahli akademik, pempengaruh serta melangkaui parti politik yang akan membantunya menggerakkan NGO itu. – Hmetro




Join our Telegram Channel
Telegram