140 ketua bahagian Umno sokong jawatan Presiden, Timbalan Presiden tidak dipertanding



Kuala Lumpur: Seramai 140 Ketua Bahagian Umno seluruh negara hari ini menyatakan solidariti agar jawatan presiden yang kini disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak dipertandingkan pada pemilihan Perhimpunan Agung Umno yang dijangka Mei nanti.

Mewakili kumpulan itu, Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata ketua-ketua bahagian itu turut bersepakat jawatan timbalan presiden juga tidak dipertandingkan.

Beliau berkata tumpuan Umno ketika ini perlu terarah kepada memperkukuh parti daripada pelbagai peringkat untuk berdepan enam pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun ini.


"Seramai 126 Ketua Umno Bahagian hadir malam ini meskipun ada lagi 14 tidak hadir kerana menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2022 (malam ini), tetapi semua sepakat jawatan (presiden dan timbalan presiden) tidak dipertandingkan.

"Untuk berdepan enam lagi PRN tahun ini, kita perlu parti Umno yang kuat, justeru kami berharap presiden (Ahmad Zahid) mengambil kira pandangan ini dan tiada jawatan tertinggi dipertandingkan," katanya pada sidang media di sini, malam ini.

Terdahulu, pertemuan 126 ketua-ketua bahagian itu diadakan secara tertutup di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, ketika perhimpunan sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam ini.


Perhimpunan Agung Umno 2022 yang berlangsung hari ini hingga Sabtu, dimulakan dengan perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan malam ini. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram