JOHOR BAHRU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun patah tangan kiri selepas terjatuh dari tingkat 11 sebuah rumah pangsa di Jalan Garuda di sini, pada Ahad.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Zulkarnain Ariffin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.31 malam.
Katanya, seramai 10 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke kejadian bagi operasi menyelamat.
"Kita dapati seorang kanak-kanak lelaki didapati tersangkut di bahagian bumbung kedai di tingkat bawah selepas terjatuh dari tingkat 11 bangunan terbabit.
"Anggota bomba bertindak membawa turun mangsa yang mengalami patah tangan kiri dengan menggunakan pengusung dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bagi menerima rawatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, operasi ditamatkan pada jam 8.05 malam.
Sementara itu, seorang penduduk dikenali sebagai Nina berkata, kanak-kanak itu merupakan penduduk di flat berkenaan.
"Saya bersyukur kerana kanak-kanak berkenaan kasih bernyawa dan kami mendoakan dia diberi kesembuhan," katanya dalam menerusi media sosial. – Sinar
Join our Telegram Channel