Anwar cuba damaikan pergolakan Sabah, Hajiji nampak keberatan



Perdana Menteri Anwar Ibrahim berusaha mendamaikan keadaan di Sabah dengan mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan di negeri itu.

Namun Malaysiakini difahamkan Ketua Menteri Hajiji Noor keberatan untuk berdamai dengan Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin dan kalangan yang menyokongnya.

Sumber dalam PH yang tahu berkenaan pergolakan yang berlaku berkata Hajiji yang merupakan pengerusi GRS juga menolak cadangan Umno agar Salleh Said Keruak dilantik sebagai menteri kewangan Sabah.


"Sukar untuk Hajiji menerima Bung kembali kerana BN Sabah menarik balik sokongan (terhadapnya)," kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Anwar juga didakwa berusaha memastikan Bung dapat mengharungi pergolakan yang berlaku kerana ia boleh memberi kesan kepada peluang Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam pemilihan parti akan datang.

Ia seterusnya boleh memberi kesan kepada kerajaan persekutuan memandangkan majoriti yang dimiliki Anwar bergantung kepada Zahid.

Setakat ini, Anwar nampaknya berdepan tugas sukar memandangkan tempat duduk Bung di DUN, bersama-sama dua lagi Adun Umno Jafry Ariffin dan Yakub Khan, dipindahkan ke kawasan pembangkang hari ini.


Bung adalah timbalan ketua menteri dan menteri kerja raya negeri. Jafry memegang portfolio pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar manakala Yakub memegang portfolio sains, teknologi dan inovasi.

Status portfolio mereka masih belum jelas walaupun ada spekulasi mengatakan barisan kabinet baru akan diumumkan tak lama lagi.

Kerusi bagi lima Adun Umno yang mengisytiharkan sokongan kepada Hajiji pula kekal di bahagian kerajaan.

Lima Adun itu adalah Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Jasni Daya (Pantai Dalit), James Ratib (Sugut), Yusof Yacob (Sindumin) dan Arsad Bistari (Tempasuk).

Ada khabar angin mengatakan Shahelmey akan menggantikan Bung sebagai menteri kerja raya negeri.


Jika pergolakan ini tidak dapat diselesaikan secara baik, ada kemungkinan DUN akan dibubarkan dan pilihan raya negeri diadakan.

PH gusar jika ini berlaku, terutama terhadap risiko ia mencetuskan kesan domino di enam negeri yang akan menjalani pilihan raya negeri.

BN Sabah dan Warisan telah menyatakan sokongan terhadap cadangan penubuhan kerajaan perpaduan selepas Anwar dan Zahid mengadakan perbincangan dengan pihak terlibat di Kota Kinabalu semalam.

Hajiji bagaimanapun setakat ni masih tidak memberi sebarang responsnya. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram