PETALING JAYA: Seorang lelaki warga India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, atas dua pertuduhan merogol dan meliwat anak bongsunya berusia tiga tahun 11 bulan, pada Disember lalu.
Bapa kepada lima anak yang berusia 45 tahun itu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa dalam bilik air kediaman mereka di Taman Bukit Mewah, Tampoi, pada 13 Dis.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa di lokasi dan pada tarikh sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun beserta tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun beserta sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir dalam hujahnya meminta supaya tertuduh tidak diberikan sebarang jaminan kerana kesalahan tersebut merupakan kesalahan berat serta tertuduh dan mangsa masih tinggal di kediaman sama.
“Saya meminta mahkamah tidak memberikan sebarang jaminan kerana bimbang tertuduh akan berhubung atau berkomunikasi dengan mangsa kerana mereka tinggal di kediaman sama, iaitu lokasi kejadian,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Mahkamah kemudian tidak memberikan jaminan dan menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen, pengurusan kes serta lantikan peguam.
Difahamkan, tertuduh yang merupakan seorang penganggur melakukan perbuatan keji itu semasa isterinya yang merupakan seorang rakyat tempatan keluar bekerja di Singapura.
Ketika kejadian berlaku, tertuduh tinggal bersama-sama mangsa dan dua anak yang lain, manakala dua lagi bersekolah.
Laporan polis tentang kejadian tersebut dibuat oleh ibu mangsa sebelum tertuduh ditahan pada 11 malam, 28 Dis di kediaman mereka.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Penganggur liwat rakan lelaki didakwa di mahkamah
- Banduan guna botol budu liwat rakan satu sel
- Bapa iblis liwat anak perempuan 4 tahun
- Kilas tangan sebelum liwat selama 2 jam
- Liwat 3 rakan sel, banduan dipenjara 23 tahun
- Penganggur liwat rakan lelaki didakwa di mahkamah
- Bapa didakwa rogol, liwat anak 3 tahun
Join our Telegram Channel