Cukuplah 9 tahun jadi isteri Syamsul Yusof – Puteri Sarah Liyana



KUALA LUMPUR – Empat tahun bergelut mempertahankan rumah tangga, aktres Puteri Sarah Liyana mengakui lega selepas memfailkan perceraian terhadap suaminya yang juga pengarah terkenal, Syamsul Yusof hari ini.

Menurut Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, dia sudah berusaha sehabis baik untuk mempertahankan rumah tangga yang dibina sejak sembilan tahun lalu.

Lebih mencetuskan dramatik, ulang tahun perkahwinan pasangan berkenaan pada 8 Mac bakal menjadi noktah kepada rumah tangga berkenaan apabila pihak mahkamah menetapkan 7 Mac sebagai tarikh sebutan kes pertama selepas aktres berkenaan memfailkan perceraian hari ini.

“Bukan sedih tetapi lega. Cukuplah sembilan tahun saya bergelar isteri kepada Syamsul dan nampaknya tiada rezeki lagi.



“7 Mac itu sangat signifikan sebab 8 Mac ialah tarikh ulang tahun perkahwinan saya. Tarikh ini pun mahkamah yang tentukan,” katanya kepada Kosmo! Online di perkarangan Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Dalam masa sama, pelakon berusia 38 tahun itu bersedia untuk berdepan dan menjalani proses yang panjang bagi menyelesaikan perceraiannya dengan Syamsul.

“Saya tak kisah kes ini berpanjangan, yang penting saya lega selepas failkan perceraian hari ini iaitu 10 hari sebelum menunaikan umrah pada 26 Januari depan.

“Kalau boleh saya nak jalani ibadah umrah dengan tenang dan tak mahu fikir masalah.



“Alhamdulillah semuanya sudah terjawab dan mahu mulakan hidup baru dengan anak-anak selepas pulang dari sana,” katanya lagi.

Sementara itu, pelakon drama Suri Hati itu mendedahkan suaminya telah ‘unblock’ dalam aplikasi WhatsApp pada 10 Januari lalu selepas pengarah filem Mat Kilau itu memuat naik video kedua dalam Instagram.

“Dia sudah ‘unblock’ selepas muat naik video kedua dan dia ada ajak berbincang tetapi saya nak selesaikan semuanya hari ini.

“Kami tidak bertemu lagi setakat ini sebab masing-masing sibuk dengan penggambaran.



“Dia ada hubungi semalam tetapi isinya saya tidak boleh kongsikan kepada umum,” ujarnya.

Hari ini, Puteri Sarah hadir ke Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi memfailkan perceraian terhadap Syamsul.

Kehadirannya di mahkamah turut ditemani dua adiknya dan peguam syarie yang mewakilinya iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader.

Sejak awal tahun lalu, kisah rumah tangga pasangan berkenaan menjadi bualan hangat ramai selepas Puteri Sarah mendedahkan diganggu oleh orang ketiga.



Kemelut rumah tangga mereka semakin memuncak apabila Syamsul mendedahkan sudah bernikah di dengan Ira Kazar di Thailand pada 6 Januari lalu berwalikan bapa pengantin perempuan iaitu pelakon senior, Kazar Saisi.

Pendedahan tersebut mengundang reaksi negatif daripada orang ramai termasuk ibu bapa Syamsul iaitu Datuk Yusof Haslam dan Datin Fatimah Ismail yang tidak merestui perkahwinan kedua anak sulungnya itu.

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah kini berusia 3 tahun. – Kosmo


 

Join our Telegram Channel
Telegram