Dah maafkan, tapi Zahid tetap pantau 10 MP pernah sokong Muhyiddin



Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dia sudah memaafkan semua 10 ahli parlimen BN yang sebelum ini memberikan sokongan dan akuan berkanun (SD) kepada Pengerusi PN Muhyiddin Yassin untuk dilantik menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun kata Ahmad Zahid dia akan tetap memantau mereka, sama ada bagi melihat pendirian ahli parlimen terbabit atau langkah yang diambil kemudian.

"Oleh kerana perkara itu (SD untuk Muhyiddin) telah berlalu dan mereka kini telah bersama-sama dalam kerajaan perpaduan, saya telah memaafkan apa telah berlaku itu.

"Tetapi saya akan bersama-sama lembaga displin parti untuk melakukan pemantauan terhadap pendirian yang ada skrg, dan juga sama ada mereka (terlibat) melakukan mana-mana gerakan," katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.


Terdahulu timbalan perdana menteri itu ditanya mengenai status 10 ahli parlimen yang dikenal pasti memberikan SD mereka kepada Muhyiddin sebelum kerajaan persekutuan dibentuk baru-baru ini.

Insiden itu menyaksikan kebuntuan politik di negara ini apabila tiada mana-mana parti gagal mendapat majoriti di Dewan Rakyat.

Ketika rundingan sedang berlangsung pemimpin tertinggi Umno dilihat menyatakan sokongan kepada Pengerusi PH Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan, namun sesetengah ahli parlimen - termasuk di luar Umno - menyatakan sokongan kepada Muhyiddin.

Lakar politik baru negara

Mereka kemudian menarik balik SD tersebut dan akhirnya akur dengan pendirian parti untuk membentuk kerjasama dengan PH.

Hasil PRU ke-15 lalu PH menjadi parti terbesar dengan memiliki 82 kerusi, namun ia tidak mencapai had minumum yang diperlukan untuk membentuk kerajaan iaitu 112.


Kemelut itu berakhir selepas BN - yang memiliki 30 kerusi - memberikan dukungan kepada Anwar untuk dilantik menjadi perdana menteri ke-10.

Pun begitu di sebalik selesainya pertikaian berkenaan, desas-desus bertiup mendakwa kononnya ada gerakan sulit diatur bagi menjatuhkan kerajaan pusat.

Ahmad Zahid berkata ketika ini Umno yakin semua ahli parlimen yang berkenan sudah berubah dan mereka tetap bersama parti untuk menyokong kerajaan perpaduan sekarang.

Kata ahli parlimen Bagan Datuk itu lagi, dia yakin apa yang berlaku ketika itu adalah kerana situasi semasa yang tidak menentu.

Justeru Ahmad Zahid berkata dia mengambil sikap mahu melupakan apa yang sudah berlaku dan menjadikan ia sebagai suatu pengajaran buat parti.

"Kita hendaklah bergerak ke hadapan untuk melakarkan politik baru tanah air," katanya.


Menjelaskan mengapa dia menceritakan apa yang berlaku itu semasa sesi taklimat tertutup semalam, Ahmad Zahid berkata ahli parti perlu tahu kejadian sebenar di sebalik kemelut yang melanda.

Sementara itu diminta mengulas mengenai kewujudan gerakan tertentu yang mahu mengubah kepimpinan parti - dikenali sebagi "reset Umno" - Ahmad Zahid berkata dia meraikan perbezaan pendapat.

Katanya penalan semula (reset) parti itu sebenarnya boleh dilakukan bersama-sama, bukan secara berasingan sehingga mewujudkan puak-puak berbeza.

"Saya punyai pendirian dan keyakinan, lebih baik kita bersama-sama untuk melakukan perubahan secara drastik - sekiranya ada - dengan segera," katanya.

Dia juga menjelaskan, hala tuju baru Umno untuk menghadapi masa depan - termasuk menghadapi pilihan raya negeri atau umum - akan dinyatakan dalam ucapan dasarnya esok. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram