Kelantan adalah sebuah negeri yang terkenal dengan ajaran Islam yang subur
mekar berkembang di setiap pelusuk kawasan dan kampung-kampung di Kelantan.
Ia sering dipanggil serambi mekah oleh sesetengah orang dan kebanyakan mereka
yang datang ke sini sering mempelajari agama Islam di beberapa sekolah.
Bagaimanapun, Kelantan rupanya mempunyai keunikan yang baru disedari ramai.
Kepelbagaian agama yang diraikan di negeri ini baru diketahui oleh netizen di
Twitter apabila salah seorang pengguna media sosial memberitahu bahawa patung
Buddha yang ada di Kelantan rupanya adalah lebih tinggi daripada patung Jesus
yang ada di Rio de Janeiro.
Dalam ciapan yang dibuat oleh @Elill, beliau berkata, “Hari ini saya mendapat
tahu bahawa Wat Phothikyan Phutthaktham, patung Buddha di Kelantan lebih
tinggi daripada Christ the Redeemer di Rio De Janeiro,” katanya sambil memuat
naik gambar perbezaan antara kedua patung.
Melalui pemerhatian The Vocket, gambar yang diambil oleh beliau sebenarnya
adalah daripada klip video di YouTube yang menyenaraikan patung tertinggi di
dunia.
Patung Buddha yang terletak di Kelantan disenaraikan sebagai patung ke-16
daripada 22 patung yang disenaraikan.
Klip itu menyenaraikan patung Statue of Unity di India sebagai patung
tertinggi di dunia, diikuti oleh Spring Temple Buddha di China dan Lakyyun
Sekkya di Myanmar sebagai antara tiga patung tertinggi dunia.
Ciapan Elill itu mendapat perhatian netizen di Twitter, kebanyakan mereka
kagum kerana patung Buddha yang terletak di Bachok, Kelantan itu tersenarai
sebagai antara patung tertinggi di dunia.
Bagaimanapun, ada beberapa netizen turut bertanya kenapa patung agama Hindu di
Batu Caves tidak tersenarai.
Untuk rekod, patung Buddha tersebut terletak di sebuah kuil yang terletak
Kampung Balai, Bachok, Kelantan.
Ia lebih dikenali sebagai Wat Balai, Wat Dua Naga atau Kuil Naga kepada
penduduk tempatan, kerana sepasang naga mengapit pintu masuk.
Difahamkan bahawa kuil ini telah mengalami revolusi binaan yang panjang sejak
berpuluh tahun yang lalu. – Vocket
Today I found out that the Wat Phothikyan Phutthaktham, a Buddhist statue in Kelantan is higher than Christ the Redeemer at Rio De Janeiro
— Elill (@Elill_E) January 15, 2023
🔴 It stands at 108-foot-high pic.twitter.com/GNLUwVsjuf
Join our Telegram Channel