GRS dakwa ada majoriti, termasuk 6 daripada Umno tidak dinamakan



KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Masidi Manjun mendakwa gabungan itu masih mempunyai majoriti mudah untuk mentadbir negeri itu di sebalik keputusan Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri Hajiji Noor.

Menurut Masidi, enam wakil rakyat Umno tidak bersetuju dengan keputusan ketua mereka Bung Moktar Radin dan mahu Hajiji meneruskan khidmat sebagai ketua menteri.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan enam ADUN terbabit.

Masidi turut menegaskan GRS masih mempunyai majoriti mudah untuk mentadbir Sabah kerana mereka turut mendapat sokongan daripada tujuh wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dan enam ADUN Umno.


Ia bermaksud GRS yang mempunyai 29 kerusi sedia ada menikmati 43 sokongan wakil rakyat termasuk daripada PH dan Umno.

Sebanyak 40 daripada 79 kerusi DUN Sabah diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Masidi yang juga ADUN Karanaan berkata beliau tidak terkejut dengan pengumuman Bung itu.

“Dengan bekerjasama dengan Warisan untuk menjatuhkan kerajaan negeri, mereka sudah lama menarik sokongan,” katanya.

Malam tadi, Bung mengumumkan Umno dan BN menarik balik sokongan mereka kepada Hajiji.

Katanya, keputusan dibuat selepas mendapati pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu melanggar perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) yang dimeterai selepas pilihan raya negeri (PRN) pada 2020.


“Penubuhan kerajaan negeri Sabah sekarang adalah hasil persefahaman yang termeterai antara parti BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada Bersatu, STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) selepas keputusan PRN Sabah ke-16,” katanya.

Bung turut mendakwa Hajiji mencabuli perjanjian persefahaman politik dengan memecat ADUN Usukan Salleh Said Keruak daripada jawatannya sebagai pengerusi Qhazanah Sabah Berhad tanpa berunding dengannya selain mahu membuat rombakan Jemaah Menteri.

Persefahaman politik itu antara lain menyebut ADUN BN, Umno akan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Hajiji untuk dilantik sebagai ketua menteri Sabah selagi mana pelantikan ahli Jemaah Menteri serta lantikan pengerusi syarikat milik kerajaan negeri daripada BN, Umno seperti termaktub dalam perjanjian dihormati. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram