Kapal kargo Malaysia hilang di perairan Indonesia

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berkata, kapal kargo itu membawa lima kru. (Gambar Bernama)


PETALING JAYA: Sebuah kapal kargo Malaysia hilang di perairan Indonesia, semalam, kata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Menurut APMM, kapal kargo itu dipercayai membawa muatan besi.

“Sebuah kapal kargo berdaftar di Malaysia yang dipercayai bawa muatan besi, bersama lima kru hilang di perairan Indonesia, semalam,” lapor Bernama.

Pengarah Maritim Johor Nurul Hizam Zakaria berkata pihaknya menerusi Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat berhubung kejadian tersebut dari MRSC Langkawi pada 5.13 petang.


Beliau berkata maklumat diterima susulan satu laporan polis dibuat oleh ejen kapal terbabit pada 12.11 tengah hari, semalam.

Nurul Hizam berkata ejen tersebut mendakwa kapal kargo yang dikendalikan tiga kru warga tempatan dan dua kru warga Indonesia, berusia 20 hingga 57 tahun itu, keluar dari jeti Kampung Aceh, Perak pada 23 Dis lepas dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak, pada 31 Dis.

“Lokasi terakhir kapal ini dikesan melalui sistem Sistem Pengenalan Automatik (AIS) adalah pada 1 Jan lepas di perairan Indonesia, 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor.

“Namun, satu isyarat kecemasan `Emergency Position Indicator Radio Beacon’ (EPIRB) telah dikesan pada 10.42 malam, dipercayai daripada kapal kargo itu di kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat, Indonesia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Johor, di sini hari ini.


Beliau menambah isyarat kecemasan tersebut dikesan oleh Pusat Kawalan Misi Malaysia (MYMCC) dan Pusat Kawalan Operasi Pelabuhan (POCC) Singapura.

Menurutnya, kapal kargo itu turut membawa muatan 527 batang paip bernilai RM726,205.

“Pihak MRSC Johor Bahru turut menghantar hebahan menerusi NAVTEX bagi memohon bantuan komuniti maritim sekiranya mempunyai maklumat mengenai kehilangan kapal ini.

“Komuniti maritim dimohon untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Johor di talian 07-219 9401 sekiranya mempunyai maklumat,” katanya.


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram