Kenapa tiba-tiba ada hampir 5,000 jawatan tetap, kenapa tiada ketika zaman KJ? soal HDK



Kuala Lumpur: Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) menginginkan kepastian daripada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Musatafa serta bekas menteri terdahulu, Khairy Jamaluddin berhubung kekosongan hampir 5,000 jawatan tetap yang mula diiklankan semalam.

Ini kerana Kementerian Kesihatan (KKM) mengiklankan sebanyak 4,914 kekosongan membabitkan 4,263 jawatan bagi Pegawai Perubatan, 355 (Pegawai Pergigian) dan 316 (Pegawai Farmasi).

Jurucakap HDK berkata, biarpun pengumuman itu memperlihatkan satu penyelesaian yang pantas dan cekap, namun pihaknya menginginkan kepastian, siapa sebenarnya menjalankan peranan di sebalik keputusan itu.

"Jika ia dicetuskan Khairy, ia sepatutnya diumumkan awal, sekali gus dapat mengelakkan lebih ramai doktor meninggalkan KKM selepas percubaan pertama mereka tidak membuahkan hasil.


"Sepatutnya 4,000 jawatan tetap ini diumumkan awal untuk memastikan pegawai perubatan (MO) kekal dan mereka tidak meninggalkan perkhidmatan KKM.

"Namun jika ia usaha Dr Zaliha, bagaimana beliau (dapat) berbuat demikian dengan segera berbanding bekas menteri terdahulu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 KKM semalam, Dr Zaliha dilaporkan berkata, iklan mengenai 4,914 jawatan itu dibuka hingga 21 Januari ini.

"Sehubungan itu saya berharap calon yang layak dapat mengisi permohonan dan mengemukakan segera maklumat yang lengkap dan betul," katanya.


Untuk rekod, ketika Khairy menggalas tugas sebagai Menteri Kesihatan, beliau mengumumkan 4,000 jawatan tetap untuk doktor kontrak, pegawai pergigian dan ahli farmasi.

Dalam perkembangan berkaitan pada tahun lalu, Khairy menghadiri beberapa mesyuarat, ceramah dan forum dengan pelbagai agensi dan hospital, yang mana beliau menggesa untuk supaya ada pertambahan jawatan tetap.

Beliau juga menjanjikan 1,500 jawatan tetap bertambah setiap tahun.

Dalam pada itu, mereka yang berjaya temuduga dan proses saringan akan mengisi 4,000 jawatan tetap itu, sementara yang tidak berjaya terus bertugas secara kontrak dan tiada masa depan dalam KKM.


Menurut jurucakap HDK itu lagi, perkembangan atau pengumuman itu membolehkan kalangan pegawai perubatan yang ingin berhenti daripada perkhidmatan KKM, boleh mencuba mendapatkan jawatan tetap dan terus berkhidmat dalam sektor kerajaan.

"Ada kalangan yang berstatus kontrak ini, menyimpan harapan mereka untuk meneruskan kepada latihan pakar dan cuba memohon jawatan mengikut kekosongan itu.

"Hingga ke tahun ini, Dr Zaliha tiba-tiba mengumumkan hampir 5,000 jawatan tetap untuk direbut bulan ini. Walaupun kami menerimanya sebagai penyelesaian pantas dan cekap, kami tertanya-tanya dari mana datangnya semua jawatan tetap," kata kenyataan itu.

Ini kerana sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan KKM saling menuding jari antara satu sama lain mengenai kesukaran menyerapkan lebih ramai doktor kontrak ke jawatan tetap.


"Adakah keadaan berubah sekarang dalam KKM dan JPA? Mengapa tiba-tiba JPA sanggup menawarkan hampir 5,000 jawatan tetap dalam tempoh singkat? Ataupun jawatan tetap adalah proses sebelum pilihan raya?

"Ia sewajarnya diumumkan lebih awal untuk mengelakkan lebih ramai doktor pergi terutama mereka yang tidak mendapat jawatan pada percubaan pertama," katanya.

Walaupun begitu, pihaknya mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka yang memohon.

"Walaupun kami tertanya-tanya serta menantikan jawatan tetap itu, kami mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka yang memohon," katanya. – Hmetro


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram