PANAS: Khairy, Noh dipecat; Hishammuddin, Shahril digantung



Khairy dipecat, Hishammuddin, Shahril digantung, kata sumber


KUALA LUMPUR: Umno memecat keahlian Khairy Jamaluddin, kata sumber selepas mesyuarat majlis kerja tertinggi parti itu malam tadi.

Pemecatan bekas ketua Pemuda Umno itu juga dimaklumkan oleh seorang lagi sumber yang dekat dengan Khairy.

Sumber juga memaklumkan bahawa Umno menggantung keahlian bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein; bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan; ahli MKT, Fathul Bari Mat Jahya; bekas ahli Parlimen Jempol, Salim Mohd Sharif; dan pemimpin Umno Tebrau, Maulizan Bujang.

Menurut sumber, keahlian mereka digantung selama enam tahun.

FMT sedang menunggu pengumuman rasmi daripada Umno.

Terdahulu, Umno menggantung keahlian bekas pengerusi Umno Selangor, Noh Omar, selama enam tahun. – FMT



Noh Omar digantung 6 tahun tapi minta diri dipecat


KUALA LUMPUR: Bekas ketua Umno Selangor Noh Omar yang digantung enam tahun berkata, beliau rela dipecat serta merta daripada parti itu.

Noh berkata, ia adalah pilihan terbaik selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam ini memutuskan untuk menggantungnya selama enam tahun.

“Keputusan mengantung saya selama enam tahun tidak memberi sebarang makna dan saya rela dipecat daripada parti,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, permintaan untuk beliau dipecat turut dipersetujui sendiri Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi. 

“Bila diumum saya digantung, saya cakap jangan gantung, pecat lebih baik. Untuk apa saya berada dalam perjuangan parti, untuk apa saya duduk dalam parti yang telah berkorban sejak 1976, saya berkorban untuk parti tapi nampaknya hari ini menggunakan parti untuk kepentingan peribadi, untuk apa?


“Betul, Umno akan buat pemutihan, yang lawan akan dipecat. Yang selamat siapa? presiden lah,” katanya di menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai respon Zahid ketika diminta untuk dipecat, Noh berkata, presiden bersetuju dengan permintaannya sementara ahli MKT lain hanya berdiam diri.

“Lain-lain semua diam. presiden kata, kalau nak pecat, kita pecatlah. Dengan ini saya pecat (Tan Sri) Noh (Omar).

“Saya kata terima kasih. Apa gantung-gantung? Gantung serta-merta, sebab itu sebab saya keluar dari mesyuarat,” dakwa Noh menceritakan apa yang berlaku dalam mesyuarat MKT dihadirinya malam ini.

Tambah Noh lagi, alasan pemecatan itu tidak dijelaskan secara terperinci, namun presiden memaklumkan ia adalah keputusan lembaga disiplin parti.


“Lembaga disiplin panggil saya Isnin ini. Tetapi saya sudah digantung hari ini. Apa ni?” Soalnya.

Sebelum ini media melaporkan, Noh akan dipanggil memberi keterangan pada lembaga disiplin parti pada 30 Januari ini.

Turut dipanggil ialah beberapa pimpinan tertinggi Umno kawasan Tanjong Karang dengan alasan mensabotaj parti dan berkempen untuk calon lain ketika PRU15 lalu.

Dalam surat itu juga, lima individu berkenaan diminta menghadiri sesi pendengaran oleh lembaga disiplin pada 2.30 petang di ibu pejabat Umno bagi tujuan pendengaran aduan dan membuat perakuan atau sebaliknya.

Noh sebelum ini meletak jawatan sebagai ketua Umno Selangor dan menyifatkan beliau tidak lagi mendapat kepercayaan daripada Zahid.

Katanya, keputusan perletakan jawatan itu dibuat selepas Zahid dilihat hilang percaya kepadanya semasa PRU15 termasuk tidak dipanggil untuk berbincang mengenai proses pemilihan calon bertanding sebelum ini. – FMT







Join our Telegram Channel
Telegram