MELAKA – Polis menahan seorang lelaki warga Rohingya kerana dipercayai mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang juga anak jirannya di Semabok, di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan terhadap suspek berusia 35 tahun dibuat sepasukan polis di hadapan rumah suspek pada 28 Disember lalu.
Menurutnya, ia susulan menerima laporan daripada bapa kanak-kanak itu yang mendakwa anak perempuannya ditarik sebelum dicabul suspek pada jam 8.30 malam 26 Disember ketika sedang bermain bola di hadapan rumah.
Menurutnya, suspek didakwa beberapa kali bertindak meraba payudara kiri mangsa sambil memberitahu kanak-kanak terbabit sudah boleh melakukan hubungan seks.
“Kejadian itu hanya disedari pengadu pada jam 8.30 pagi 27 Disember apabila diceritakan mangsa yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik.
“Pengadu kemudian menceritakan kejadian itu kepada kakak suspek yang bertindak menampar suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Christopher berkata, hasil soal siasat terhadap mangsa dan adik lelakinya, suspek turut memberitahu kepada adiknya yang kakaknya sudah besar dan bersedia untuk melakukan seks.
“Setelah mendengar apa yang diceritakan oleh adiknya, mangsa juga bercerita bahawa mangsa pernah diraba payudaranya oleh jiran lelaki warga Rohingya tersebut.
“Suspek juga sebelum ini didakwa pernah menegur mangsa dan adik lelakinya ketika mereka dalam perjalanan ke rumah neneknya yang tidak jauh dari rumah mereka,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel