'Mangsa tunjuk katil tempat dirogol, Inspektor tak mengaku'



YAN: Pegawai penyiasat berpangkat Inspektor yang kini dalam tahanan reman polis kerana disyaki merogol remaja perempuan bawah umur dalam pejabatnya ketika siasatan kes rogol, menafikan melakukan perbuatan itu.

Pengakuan itu dibuat suspek berusia 34 tahun terbabit ketika dalam siasatan, namun pemeriksaan lanjut masih dijalankan polis termasuk mengumpul serta mengambil bahan bukti yang sudah diserahkan ke Jabatan Kimia.

Sumber berkata, polis juga sudah memanggil mangsa bersama ahli keluarganya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan untuk dirakam keterangan masing-masing mengikut Seksyen 112 kanun Prosedur Jenayah (KPJ).


"Selain itu, polis turut merampas pakaian yang dipakai mangsa ketika kejadian untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

"Polis juga merampas tiga telefon bimbit, masing-masing milik remaja berkenaan, rakannya dan suspek untuk dihantar ke makmal forensik," katanya.

Semalam, media melaporkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun menjadi mangsa rogol seorang pegawai polis berpangkat Inspektor ketika berada dalam bilik pejabatnya di IPD Yan pada 6.30 petang Rabu minggu lalu.

Suspek dikatakan mengambil kesempatan terhadap mangsa dengan menggunakan alasan untuk menjalankan siasatan terhadap remaja berkenaan yang sebelum itu membuat laporan mendakwa dirogol bapa tiri.


Sumber berkata, dalam siasatan yang dijalankan mangsa turut menunjukkan kepada anggota forensik polis lokasi serta katil yang digunakan oleh suspek bagi merogolnya.

"Hasil pemeriksaan lanjut polis merampas sarung bantal serta cadar yang dipercayai mengandungi sampel DNA, rambut, bulu dan juga pisau cukur.

"Semua bahan yang dirampas itu diserahkan ke Jabatan Kimia Malaysia untuk tindakan selanjutnya," katanya. – Bharian



Join our Telegram Channel
Telegram