Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah melantik anaknya, Nurul Izzah sebagai
penasihat kanan kewangan dan ekonomi.
Namun, sumber dalam kerajaan yang tahu berkenaan perkara itu memberitahu
Malaysiakini bahawa jawatan itu tidak dibayar gaji.
"Saya boleh katakan ia bukan peranan bergaji," kata seorang sumber.
Anwar turut mengesahkan perkara ini dalam sidang media hari ini.
"Saya tak bayar apa-apa elaun kepada dia," katanya kepada pemberita selepas
pelancaran pusat khidmatnya di Tambun, Perak.
Anwar yang juga menjadi menteri kewangan turut tidak mengambil gaji.
Nurul Izzah memaklumkan tentang peranan barunya itu dalam wawancara bersama
The Star yang diterbitkan hari ini.
"Sementara saya tiada di Parlimen untuk berkhidmat kepada rakyat, saya kini
berkhidmat dalam kerajaan dalam dasar awam dan pelaksanaan dasar," katanya.
Naib presiden lantikan PKR itu merupakan antara pemimpin utama yang menjadi
korban kepada "gelombang hijau" PN di utara semenanjung, selepas tewas di
kerusi Parlimen Permatang Pauh.
Nurul Izzah berkata dia berharap dapat menggunakan pengalaman lalunya sebagai
ahli parlimen, kerjanya dalam isu kemiskinan, pendidikan vokasional dan
teknikal serta ketika dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara untuk
berkhidmat sebagai penasihat Anwar.
Belanjawan 2023
Antara tugasnya pada masa ini adalah melakukan libat urus dengan pihak
berkepentingan, termasuk orang ramai, untuk Belanjawan 2023.
"Sebagai sebahagian daripada persiapan belanjawan, kita bukan saja telah jumpa
kumpulan perniagaan dan pihak berkepentingan biasa lain, tetapi kita juga
sedang mendapatkan input dari rakyat, terutama daripada B40, dan tidak lupa
juga M40.
"Arahan dari perdana menteri jelas: Bercakap dengan rakyat dan dengar idea,
kebimbangan dan harapan mereka. Mereka adalah pihak berkepentingan paling
utama," katanya lagi.
Dia sebelum ini memaklumkan mengalami keguguran ketika menjalankan tugas,
termasuk berulang-alik antara Pulau Pinang dan Putrajaya.
Sementara itu, Nurul Izzah berkata peranan terbarunya ini akan membolehkannya
menggalas tanggungjawab baru di tengah keadaan ekonomi yang mencabar.
"Namun, saya yakin dapat menyumbang kepada evolusi Malaysia yang bukan saja
mengejar pertumbuhan semata-mata demi pertumbuhan, tetapi negara yang
mengangkat semua strata masyarakat dan memberikan kesaksamaan dalam peluang.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Nurul Izzah dilantik penasihat PM, tanpa gaji
- PM pertahan kelayakan Nurul Izzah sebagai penasihat kewangan, ekonomi, PAS-Bersatu pun tiada kelulusan
- Lagi mulia Nurul Izzah kerja tanpa gaji, berbanding Hadi makan gaji buta – Lokman
- Tugas Izzah pastikan tender diurus secara teratur – Anwar
- Tak salah PM lantik anak jadi penasihat – Mufti
- Tak mungkin Nurul Izzah salah guna kuasa, kata Anwar
Join our Telegram Channel