Peguam sahkan pecat, gantung ahli UMNO sah ikut perlembagaan parti



KUALA LUMPUR: Pemecatan dan penggantungan pemimpin serta ahli UMNO yang dipersetujui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kelmarin, adalah sah dari sisi perlembagaan parti.

Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, berkata rujukan dengan peguam mendapati, Perlembagaan UMNO menyatakan proses pemecatan atau penggantungan ahli hanya perlu dirujuk kepada MKT.

"Proses lain yang membabitkan Lembaga Disiplin dan sebagainya itu hanya pengurusan dalaman yang dipraktikkan.

"Oleh itu, apabila MKT sudah memperakui pemecatan dan penggantungan ahli UMNO, maka pemecatan dan penggantungan itu adalah sah di sisi Perlembagaan UMNO dan undang-undang serta peraturan," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.


Beliau mengulas dakwaan beberapa pemimpin UMNO termasuk mereka yang digantung dan dipecat bahawa tindakan itu tidak melalui proses wajar seperti bela diri sebelum berdepan tindakan.

Isham berkata, semua yang dipecat atau digantung termasuk bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, masih boleh merayu atau berjumpa Lembaga Disiplin untuk membela diri.

"Dia (Noh) boleh berjumpa dengan Lembaga Disiplin seperti tarikh asal jemputan iaitu 30 Januari 2023 atau esok.

"Lembaga Disiplin UMNO bukan Mahkamah Persekutuan dan hukuman ke atas Noh dan Khairy (Jamaluddin) ini bukannya hukuman penjara atau hukuman mati.

"Mereka masih boleh membela diri dan merayu beberapa kali. Jika Noh dan Khairy serta lain-lain boleh mengalahkan bukti terhadap mereka yang menunjukkan mereka bersalah, saya percaya Lembaga Disiplin akan membuat keputusan seadilnya," katanya.


Isham turut menasihatkan mereka yang digantung tidak mencabar Lembaga Disiplin atau MKT untuk berdepan pemecatan seperti dilakukan sebelum ini, memandangkan tindakan berkenaan akan memburukkan keadaan selain menunjukkan keangkuhan sendiri.

Beliau juga yakin Lembaga Disiplin sudah membuat penelitian terhadap laporan dan bukti yang ada sebelum membuat keputusan serta mengambil tindakan ke atas 40 ahli UMNO yang lain.

"MKT tidak campur tangan dalam proses siasatan dan keputusan Lembaga Disiplin. MKT biasanya memperakui saranan dan keputusan Lembaga Disiplin berkenaan kes disiplin membabitkan ahli parti," katanya.

Beliau berkata, Khairy dipecat atas tindakannya mendakwa 'UMNO sesat' ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di Sungai Buloh, yang memberi kesan langsung terhadap sokongan pengundi di seluruh negara kepada UMNO.

"Dia tahu dia mungkin boleh menang di (Parlimen) Sungai Buloh dengan strategi ini tetapi ia sedikit sebanyak mengorbankan calon UMNO yang bertanding di tempat lain," katanya.


Isham berkata, seramai 25 ahli yang dilucut keahlian disebabkan mereka bertanding sebagai calon atau menjadi penyokong calon lawan iaitu Perikatan Nasional (PN) atau Bebas ketika PRU-15.

"Saya dimaklumkan Lembaga Disiplin sudah memeriksa dan merujuk perkara ini dengan maklumat daripada SPR, termasuk seorang pegawai Noh yang bertanding sebagai calon Bebas di Tanjung Karang menentang calon UMNO.

"Seramai 15 ahli didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin dengan bukti kukuh yang menunjukkan mereka menyokong parti lawan terutama PN ketika kempen PRU-15.

"Saya dimaklumkan ada banyak laporan, video dan gambar menunjukkan antaranya mereka berkempen dan memakai baju PN untuk calon lawan menentang calon UMNO," katanya. – Bharian



Join our Telegram Channel
Telegram