MUSTHAFA Kamal (kanan) bersama Muaz, yang terpaksa pulang ke tanah air tanpa bapanya. |
Kuala Lumpur: "Kami sekeluarga sangat berharap ayah segera ditemui dan sentiasa dalam keadaan selamat. Kami sangat bimbangkan keadaanya di sana," kata Muhammad Nabel Musthafa Kamal.
Muhammad Nabel, 26, adalah anak kepada jemaah umrah, Musthafa Kamal Abdullah, 49, yang dilaporkan hilang di Makkah hampir sebulan lalu.
Katanya, bapa pergi ke Tanah Suci bersama adiknya, Muaz, 17, pada 6 Disember lalu dan dijangka pulang ke tanah air pada 18 Disember.
Bagaimanapun katanya, bapanya dilaporkan hilang pada 12 Disember selepas adiknya menyedari bapa mereka tiada di bilik hotel di Makkah.
Advertisement
"Mereka baru pulang dari Madinah dan tiba di hotel kira-kira 7 malam. Mereka sempat makan dan meletakkan barang serta berehat sebelum 10 malam dijadualkan membuat tawaf untuk umrah wajib.
"Mereka juga sudah memakai ihram dan ayah minta adik pergi dulu dengan mutawif kerana dia mahu berehat dan cakap dia akan tawaf nanti... kebetulan ketika itu ayah kurang sihat," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, ketika pulang ke bilik hotel, adiknya mendapati bapa mereka tiada di bilik, malah beg silangnya juga tiada pada 12.30 tengah malam.
Katanya, pada mulanya adiknya tidak terlalu risau bapanya keluar seorang diri kerana beliau boleh berbahasa Arab tetapi selepas bapa masih belum pulang hingga Subuh dan gambarnya juga tersebar di WhatsApp, mereka mengesyaki bapa dihantar ke hospital.
"Kami percaya mungkin ayah keluar seorang diri mahu pergi tawaf. Pada 13 Disember ada individu berkongsi gambar ayah memakai ihram tanpa beg dalam ambulans di kumpulan WhatsApp.
"Mutawif kemudiannya ke hospital mencari ayah tetapi ayah tiada dan diberitahu sudah keluar dari hospital serta dihantar pulang ke hotel," katanya sambil memberitahu bapanya tiada penyakit.
Menurut Muhammad Nabel, pemeriksaan di hotel mendapati bapanya yang tinggal di Sri Gading, Batu Pahat dan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja, Johor masih tiada di premis berkenaan.
Katanya, pada hari ketiga kehilangan bapanya ada orang awam menghantar beg silang bapanya itu di kaunter hotel.
"Kami binggung memikirkan di mana ayah berada dan sehingga kini ayah masih belum ditemui... sudah hampir sebulan dan adik pulang seorang diri bersama jemaah lain tanpa ayah.
"Mak juga sedih, tidur malam kami tidak lena memikirkan ayah dan setiap hari memikirkannya. Di sana ada individu yang membantu mengesan ayah dan selalu berhubung dengannya," katanya memberitahu mereka membuat laporan polis dan di Kedutaan Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel