Tak rela dimadu, Puteri Sarah minta cerai daripada Syamsul Yusof



PETALING JAYA – “Lepaskan saya kerana saya tak rela dimadu.”

Demikian permintaan pelakon yang juga isteri pertama Syamsul Yusof, Puteri Sarah yang akhirnya meminta cerai daripada suaminya itu.

Sarah atau nama sebenarnya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, tiada perbincangan antaranya dengan Syamsul disebabkan dirinya disekat daripada menghubungi suaminya hingga sekarang.

“Kepada Mohd. Shamsul, oleh kerana awak ‘block’ saya sehingga sekarang dan tidak ajak berbincang, saya minta lepaskan saya kerana saya tidak rela dimadu.


“Awak seorang suami yang narsisistik (terlalu berbangga diri). Kami (anak beranak) layak mendapat yang lebih baik,” katanya menerusi satu entri terbaharu dalam Instagram.

Hari ini, Syamsul menerusi Instagram mengharapkan kedua-dua isterinya bertenang dan banyakkan bersabar.

Puteri Sarah kemudian membalas dengan meminta agar pengarah itu berhati-hati sebelum memuat naik sebarang kandungan dalam media sosial.

Hal ini kerana katanya, dia tidak menyekat penggunaan telefon kepada anak-anaknya dan enggan perasaan mereka disakiti dengan melihat perkara sebegitu.

“Malunya Ya Allah, Syaikhul dan Sumayyah dapat ayah macam awak.


“Saya cuba untuk tidak memberikan reaksi kerana perkara tersebut telah berlaku.

“Orang jahil akan serlahkan kejahilannya, walaupun dia disangka berilmu,” kata pelakon berusia 38 itu.

Jumaat lalu, Syamsul, 39, akhirnya menamatkan segala spekulasi apabila membuat pengakuan sudah bernikah dengan Ira Kazar.

Pengakuan tersebut dibuat Syamsul menerusi satu video yang dimuat naik menerusi Instagramnya dan memaklumkan pernikahan yang berlangsung di Thailand berwalikan bapa Ira, Kazar Saisi. – Kosmo





Join our Telegram Channel
Telegram