Yusof Haslam pujuk menantu usah cerai



Kuala Lumpur : Penerbit popular, Datuk Yusof Haslam memujuk menantu, Puteri Sarah Liyana agar menimbang semula keputusan mahu menuntut cerai daripada anaknya, Syamsul.

Akur pendirian dibuat Puteri Sarah seperti yang diumumkan semalam, Yusof bagaimanapun menaruh harapan agar perceraian anak dan menantunya itu tidak akan berlaku.

"Saya berbincang dengan Puteri Sarah dan memujuknya untuk mempertimbangkan keputusannya itu.

"Walaupun Puteri Sarah hendak tuntut cerai hinggalah proses perceraian itu berlangsung kerana akan mengambil masa (jika berlaku), saya akan tetap mendoakan semoga perceraian itu tidak terjadi.


"Jika perceraian itu tidak berlaku, saya fikir Syamsul kena banyak buat perubahan dalam hidup kerana hidup ini adalah suatu pengorbanan dan perjuangan," katanya.

Semalam, BH Online melaporkan, Puteri Sarah, 38, mengesahkan memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, di sini, Isnin ini.

Puteri Sarah dilaporkan berkata, dia enggan melengahkan masa dan mahu memfailkan perceraian segera.

Selain itu, katanya, keputusan untuk berpisah dibuat atas persetujuan keluarga.


Puteri Sarah juga dilaporkan mahu mencari ketenangan dan memulakan hidup baharu.

Keputusan Puteri Sarah itu juga disahkan peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie itu.

Yusof berkata, sebagai orang tua, dia sentiasa mendoakan supaya ada sinar di hujung terowong di sebalik apa yang berlaku.

Bagaimanapun, jika perceraian adalah jalan terbaik dan mampu memberi ketenangan kepada Puteri Sarah, Yusof mengaku, tiada ikhtiar lain yang boleh dilakukan selain terpaksa akur dengan kehendak menantunya itu.


Kemelut rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul mula diperkatakan sejak empat tahun lalu.

Namun, pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu tidak pernah membuka mulut mengenainya.

Susulan pengakuan Syamsul berhubung pernikahan keduanya dengan Ira Kazar di Thailand serta penjelasan di sebalik kontroversi terjadi, topik terbabit hangat diperkatakan sehingga 'trending' dalam Twitter.

Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam yang berusia lima tahun dan Summayah, tiga tahun. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram