PANAS: Zahid dedah identiti 10 Ahli Parlimen BN sokong Muhyiddin jadi PM



KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendedahkan 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk daripada UMNO yang menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pendedahan itu dibuat Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena Persidangan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Sumber pemimpin parti itu ketika ditemui memaklumkan, Ahmad Zahid memperincikan kawasan diwakili Ahli Parlimen berkenaan tanpa menyebut nama mereka, dengan empat daripadanya dari Johor.

"Ahli Parlimen ini adalah mereka yang menyokong Muhyiddin ketika kemelut pembentukan kerajaan tercetus selepas PRU-15 lalu.


"Nama Ahli Parlimen BN yang dirujuk Ahmad Zahid itu pula bukan sepenuhnya daripada UMNO, sebaliknya sebahagian mereka mewakili parti komponen BN lain.

"Mereka diminta untuk membatalkan SD ditandatangani (untuk menyokong Muhyiddin) dan semuanya akur dengan arahan itu kerana parti tidak membuat sebarang keputusan untuk menyokong sama ada PN (Perikatan Nasional) atau PH (Pakatan Harapan) ketika itu," katanya.

Melalui taklimat sama juga, katanya, Ahmad Zahid mendedahkan cubaan pihak tertentu yang mahu mendesaknya supaya berundur daripada Pengerusi BN, namun gerakan itu berjaya dihalang.

Sementara itu, sumber menyatakan, Ahmad Zahid menjelaskan wujud cadangan untuk UMNO menyertai blok pembangkang selepas PRU-15, namun pertimbangan itu sukar dipersetujui memandangkan UMNO perlu memilih antara PN atau PH.


"Presiden (Ahmad Zahid) jelaskan, keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan bukan dibuat olehnya, sebaliknya dipersetujui oleh pemimpin utama BN ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Syarat ditetapkan UMNO ketika mengadakan rundingan dengan PH adalah kerajaan yang dibentuk adalah Kerajaan Perpaduan bukannya kerajaan PH, sebelum ia dipersetujui pemimpin PH," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika ditemui selepas sesi khas itu memaklumkan, kunci utama taklimat disampaikan Ahmad Zahid semalam adalah menekankan supaya tiada pengkhianatan dalam perjuangan parti.

"Salah satu perkara yang Presiden (Ahmad Zahid) tekankan bahawa dia tidak mahu dalam UMNO berlaku pengkhianatan dalam parti.


"Maknanya waktu bila kita pergi pertandingan (pilihan raya), (ahli) parti yang datang daripada UMNO juga menyokong parti lain...itu maksud dia, jangan ada pengkhianatan dalam perjuangan parti UMNO," katanya.

Taklimat bermula 3 petang itu berlangsung dua jam dengan dihadiri kira-kira 3,000 perwakilan UMNO dari seluruh negara.

Dalam pada itu, Pengerusi BN dan UMNO Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said berkata, UMNO percaya demi masa depan parti, penyatuan bersama PH serta pembersihan parti perlu dilakukan daripada mereka yang mensabotaj UMNO dan BN dalam PRU-15 lalu atas pelbagai alasan.

"Melalui penyatuan (dalam Kerajaan Perpaduan) dan pembersihan, selain hala tuju baharu parti, ia boleh mengukuhkan kembali UMNO dan BN untuk bersaing dalam PRU akan datang," katanya. – Bharian


Dewan Tertinggi BN dimaklumkan terdapat 10 Ahli Parlimen BN – Ayer Hitam, Tapah, Pensiangan, Tanjung Piai, Simpang Renggam, Lipis, Jelebu, Kuala Pilah, Tampin dan Sembrong telah menyatakan sokongan kepada Muhyiddin Yassin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.




Join our Telegram Channel
Telegram