‘Ada masa nanti saya telefon KJ minta lagu’ – Faizal Azumu



SEREMBAN - Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sehingga kini masih belum menjawab tawaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya beliau mahu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) atas tiket parti berkenaan.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Khairy merupakan seorang pemimpin yang baik dan diterima oleh sebahagian besar rakyat.

Menurutnya, beliau telah menunjukkan prestasi yang cukup baik sebagai Menteri Kesihatan dalam waktu yang begitu sukar dan beliau juga didambakan oleh pelbagai parti politik.


"Namun sehingga hari ini beliau dikhabarkan masih lagi belum membuat keputusan dan kami mengalu-alukan untuk terus bekerjasama kerana yakin hasrat beliau untuk melawan kemungkaran, memperbaiki sistem penyampaian di dalam kerajaan negeri dan Persekutuan itu adalah selari dengan apa yang diperjuangkan dalam Perikatan Nasional (PN).

"Jadi kami yakin inilah wadah yang paling sesuai untuk beliau, namun apa juga keputusannya saya amat hormati sebagai seorang sahabat," katanya kepada pemberita selepas selesai Majlis Semarak Kebangkitan Rakyat Negeri Sembilan di sini pada Ahad.

Ahmad Faizal bagaimanapun mengakui ada berhubung dengan Khairy dan berbincang mengenainya tetapi tiada apa-apa keputusan.

"Kami ada berhubung, tetapi cerita tentang beliau tewas di Sungai Buloh dan saya tewas di Tambun, cerita sebagai seorang sahabat. Tetapi Khairy setakat ini memang tak bagi jawapan lagi, Khairy tengah fokus apa dia nak cakap esok (sebagai penyampai radio).


"Saya ingat kalau ada masa saya hendak telefon juga, buat permintaan lagu... Apa pun biar beliau putuskan (tawaran Bersatu).

"Kami sentiasa bertukar tukar fikiran untuk cari jalan bagaimana hendak jadi pemimpin yang lebih baik. Bagaimana kita hendak memenangi hati rakyat dan kita dapat menubuhkan kerajaan yang mantap, stabil yang paling penting prihatin dan bersih di Negeri Sembilan," katanya.

Ditanya sekiranya Khairy tidak berminat dengan tawaran Bersatu, siapa yang akan menjadi calon, Ahmad Faizal menjelaskan, PN mempunyai pemimpin pelbagai lapisan dan kaum.

"Kami amat bersedia dan sesiapa juga yang kami angkat sebagai pemimpin kami pastikan akan tetap bawa kebaikan melalui semangat PN prihatin, bersih dan stabil," katanya.


Sinar Harian sebelum ini melaporkan Bersatu Negeri Sembilan bersedia menawarkan jawatan berkenaan kepada Khairy sekiranya beliau mahu bertanding pada PRN nanti atas tiket parti itu.

Malah Pengerusinya, Datuk Eddin Syazlee Shith menjelaskan, soal menteri besar adalah persoalan kecil kerana paling penting adalah memastikan kemenangan kepada Bersatu dan PN. – Sinar



Join our Telegram Channel
Telegram