Parti Amanah perlu berunding dengan Umno terlebih dahulu jika terdapat mana-mana individu yang dipecat daripada Umno ingin menyertai parti itu.
Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub berkata langkah itu wajar dilakukan demi keharmonian Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional, yang kini bekerjasama dalam kerajaan perpaduan.
“Kita kena libat urus dahulu dengan Umno, berjumpa dan berunding kalau kita rasa perlu. Macam ingin bertunang, mesti kita runding dahulu, bagaimanapun (rundingan) hanya dibuat kalau perkara itu berlaku,” katanya.
Salahuddin yang juga Pengerusi PH Johor berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina 2023 PH Johor, yang turut dihadiri oleh Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong dan Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh.
Bulan lepas Umno memecat keahlian beberapa individu termasuk Ahli Majlis Tertinggi (MT) Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin atas sebab pelanggaran disiplin parti.
Terdahulu Salahuddin yang merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menerima 400 keahlian baru Amanah kawasan Pulai, dan menurutnya penyertaan mereka dapat membantu memantapkan serta memperkuatkan parti Amanah. – Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:
- Zahidi umum masuk PKR, dakwa ‘ramai pemimpin lain’ akan ikut
- Tiada perbincangan Zahidi sertai PKR, kata Amin
- Kalau masuk PN tak boleh jumpa kawan Umno – Zahidi
- Zahidi pilih Amanah selepas ‘ditolak’ PKR
- Amanah keberatan terima individu yang dikenakan tindakan disiplin – Salahuddin
- Mat Sabu enggan ulas hasrat Zahidi mahu sertai Amanah
- Amanah: Perlu bincang dengan Umno dulu sebelum terima bekas ahli
Join our Telegram Channel