Anak sulung kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi iaitu Nurulhidayah mengesahkan akan merebut jawatan exco Wanita Umno serta ketua Wanita Umno Bagan Datuk.
Pengumuman itu sekali gus menutup spekulasi yang dia akan bertanding jawatan ketua Puteri Umno.
Nurulhidayah mengesahkan penyertaannya dalam pemilihan Umno kali ini setelah selesai menghantar borang pencalonan di ibu pejabat Umno, di Kuala Lumpur, hari ini.
"Walau pun kita sudah ada sosial media, 'mainstream media' tidak boleh diketepikan. Mereka lebih beretika dan saya selesa bersama mereka. Alhamdulillah.
"Ya Allah permudahkanlah urusan kami. Semoga Allah rezekikan saya tempat di dalam exco Wanita Umno Malaysia. Aamin," tulisnya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Selain Nurulhidayah, personaliti televisyen, Nik Suryani Megat Deraman turut mengumumkan hasrat merebut jawatan exco Wanita Umno pada pemilihan parti itu yang akan datang.
Bekas pembaca berita TV3 itu menyerahkan borang pencalonan bagi merebut jawatan berkenaan di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur, 14 Feb lalu
Sebelum ini nama Nurulhidayah dikaitkan dengan jawatan ketua Puteri Umno yang ditinggalkan penyandangnya Zahida Zarikh Khan.
Ditemui media di ibu pejabat Umno hari ini, Nurulhidayah berkata dia tidak pernah menyuarakan hasrat untuk bertanding jawatan ketua Puteri.
Malah, sejak awal pembabitannya dalam Umno, Nurulhidayah berkata dia lebih cenderung kepada Wanita Umno dan setiap sayap mempunyai peranan dalam Umno.
Pada pemilihan Umno Jun 2018, Nurulhidayah tidak terpilih ke dalam barisan kepimpinan Wanita Umno selepas gagal mendapat tempat 20 teratas pemilihan sayap itu.
Sementara itu media melaporkan, Nurulhidayah berkata dia lebih selesa untuk bergerak bersama Wanita Umno memandangkan penyertaannya ke dalam Umno ketika usianya awal 40-an.
“Boleh saja jadi (tawar) menjadi ketua Puteri tetapi saya lagi suka untuk memberi khidmat kepada Wanita.
“Puteri berperanan untuk menarik semula sokongan anak muda tetapi Wanita sudah agak masak, patut jadi ibu dalam parti yang menyediakan ramuan untuk pastikan anak cukup makan dan pakai. Saya rasa bertanggungjawab di situ bukan lagi untuk keluar macam orang muda yang lebih banyak tenaga," katanya.
Nurulhidayah berkata dia akan menggunakan kepakaran dalam industri media dan media sosial untuk membawa pembaharuan kepada sayap parti itu. – Mkini
ARTIKEL BERKAITAN:
- Anak Najib tawar bertanding naib ketua pemuda Umno
- Tengku Zafrul sah tanding ahli MKT Umno
- Ikon poligami tawar diri tanding MKT UMNO
- UMNO: Akmal umum tanding Ketua Bahagian Jasin, Fathul Bari tanding Ketua Bahagian Kangar
- Yana Najib tanding Exco Puteri UMNO
- Dira sah rebut jawatan Ketua Puteri Umno
- Anak Zahid tanding jawatan exco wanita Umno
- Dr Akmal Saleh sah tanding Ketua Pemuda UMNO
Join our Telegram Channel