Dira sah rebut jawatan Ketua Puteri Umno



Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Dira Abu Zahar mengesahkan keputusannya untuk bertanding jawatan ketua Puteri Umno dalam pemilihan parti itu bulan depan.

Dira yang juga Adun Rim Melaka memaklumkan perkara itu selepas mesyuarat MKT Umno di Ibu Pejabat Umno, di Kuala Lumpur, malam tadi.

"Yang bakal nak menawarkan diri harus ada nilai tambah dan mampu membawa parti jauh lebih baik.

"Dengan semangat demokrasi yang diamalkan dalam parti ini, saya insya Allah, Khaidirah Abu Zahar akan menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan ketua Puteri Umno," katanya kepada media.


Ditanya sama ada dia telah mengemukakan pencalonan bagi merebut jawatan itu, Dira berkata borang pencalonan akan dikemukakan hari ini.

Sehingga kini lima pemimpin Puteri mengumumkan keputusan untuk merebut jawatan ketua Puteri Umno yang dikosongkan Zahida Zarikh Khan.

Antara yang telah mengesahkan untuk bertanding jawatan itu, Ketua Puteri Umno Lembah Pantai, Dr Masliha Harun; Setiausaha Puteri Umno, Nurul Hazwani Haslan; Ketua Puteri Umno Pandan, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin; Exco Puteri UMNO, Fadhwa Anuar dan Dira.

Mengulas lanjut, Dira berkata dia telah memaklumkan hasrat untuk bertanding jawatan itu kepada Zahida yang juga penyandang jawatan berkenaan.


"Saya sendiri telah maklumkan kepada Presiden (Ahmad Zahid Hamidi) dan pengerusi perhubungan Umno (Melaka) saya sendiri.

"Alhamdulillah semua dah maklum," katanya.

Difahamkan pemilihan bagi jawatan sayap-sayap Umno akan berlangsung pada 11 Mac ini. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram