SHAH ALAM - Susulan penjelasan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berikutan tekanan yang diterima beliau sewaktu menjadi Perdana Menteri turut mendapat perhatian oleh bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Menerusi komen balas yang ditinggalkan pada hantaran yang dimuat naik oleh Ismail Sabri, Khairy mendakwa turut diserang rakan daripada parti sendiri sewaktu berada dalam Jemaah Menteri.
“Apa pun, kami sudah lakukan yang terbaik untuk negara seperti keluar dari pandemik, pulihkan ekonomi. Anda boleh berbangga untuk perkara itu,” katanya.
Sebelum ini, bekas perdana menteri itu tampil memperbetulkan kenyataan tentang isu ‘dilanyak’ oleh parti sendiri dalam satu wawancara oleh media tempatan.
Berdasarkan kenyataan yang dimuat naik itu, Ismail Sabri menzahirkan rasa kekecewaan yang tidak pernah ditunjukkan selama ini.
Bukan itu sahaja, beliau juga menjelaskan ada laporan yang mengeluarkan kenyataan tidak tepat mengenai wawancaranya sebelum ini.
"Saya Perdana Menteri (dari) UMNO. Untuk mengukuhkan UMNO masa itu, daripada 29 menteri kabinet, 14 daripadanya adalah menteri Barisan Nasional walaupun kita hanya ada 42 kerusi Parlimen.
"Tetapi waktu tersebut saya ditekan oleh pemimpin parti sendiri seperti saya bukan Perdana Menteri dari UMNO. Saya dilanyak waktu itu. UMNO seolah-olah pembangkang waktu berkenaan,” katanya.
Pun demikian, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan isu bahawa beliau ditekan oleh pimpinan parti hanyalah pendapat peribadi Naib Presiden UMNO itu sendiri. – Sinar
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel