PETALING JAYA: Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin akan memulakan tugas sebagai penyampai di stesen radio Hot FM mulai Rabu ini.
Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran, yang memaklumkan Khairy akan mengendalikan segmen “Bekpes Hot” bersama tiga lagi rakan penyampai.
Pagi tadi, Khairy yang juga bekas ketua Pemuda Umno menerusi temuramah melalui telefon pada segmen “Bekpes Hot” dikendalikan Johan, AG dan AC Mizal turut mengesahkan dirinya bakal menyertai Hot FM.
Terdahulu, Hot FM menerusi surat terbuka di Instagram @hotfm976 menawarkan kepada Khairy yang mesra disapa KJ jawatan penyampai radio yang akan bertugas setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 pagi hingga 10 pagi.
MPA berkata, selaras “tagline” stesen radio Hot FM iaitu “Yang Hangat dan Terbaik”, kehadiran Khairy bersama tonggak utama “Bekpes Hot” pasti memberi suntikan baharu buat Hot FM dan warna lebih menarik untuk segmen terbabit.
Nazri berkata, peluang menawarkan Khairy sebagai penyampai radio diambil Hot FM bagi memastikan pengisian dan kandungan segmen “Bekpes Hot” lebih segar dan relevan kepada pendengar.
“Khairy atau KJ bukan sahaja ahli politik dan pemimpin yang hebat, tetapi juga beliau pempengaruh yang mempunyai impak besar buat rakyat Malaysia.
“Kehadiran KJ bukan hanya akan memberi sesuatu yang berbeza kepada pendengar menerusi gandingan ahli politik, pelawak dan penyampai radio, tetapi dimensi baharu untuk landskap radio negara.
“Pengisian dan kandungan segmen akan diolah untuk menjadi lebih segar, komedi yang melucukan, celoteh dan gelak tawa yang menghiburkan serta mampu memberi aura positif kepada pendengar,” katanya menurut Berita Harian.
Nazri berkata, pelantikan Khairy diharap memberi impak lebih baik kepada Hot FM sekali gus dapat menarik lebih ramai pendengar baharu.
Sementara itu, Pengarah Rangkaian Kandungan Hot FM, Shah Hayatudin, berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Khairy untuk menampilkan pengisian hebat buat pendengar setia Hot FM dan pengikut beliau.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel