Mat Sabu kini bergelar Datuk Seri



KUALA LUMPUR: Presiden AMANAH yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, mengetuai senarai penerima gelaran sempena Hari Wilayah Persekutuan hari ini.

Mohamad menerima darjah kebesaran Seri Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri daripada Yang Dipertuan Agong, bersama enam lagi penerima darjah kebesaran itu.

Presiden AMANAH yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Haji Mohamad Sabu mengetuai senarai penerima gelaran sempena Hari Wilayah Persekutuan hari ini.

Beliau menerima darjah kebesaran Seri Mahkota Wilayah yang membawa gelaran Datuk Seri dari Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bersama enam lagi penerima darjah kebesaran itu.


Sementara itu, Al-Sultan Abdullah dalam titah baginda, menitahkan kerajaan agar melipatgandakan usaha dalam memelihara kesejahteraan rakyat dan membangunkan Wilayah Persekutuan sebagai sebuah bandar raya unggul dan mampan.

Seri Paduka berharap bantuan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan dapat diberikan tumpuan khusus oleh kerajaan, termasuk meningkatkan peluang pekerjaan serta membantu mengurangkan kos sara hidup yang membelenggu golongan miskin bandar serta yang kurang berkemampuan.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa gusar berhubung banjir kilat yang sering melanda Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang menurut Seri Paduka, harus ditangani segera kerana kejadian itu bukan sahaja memberi kesan buruk kepada rakyat, malah boleh menjejaskan kerancakan pertumbuhan ekonomi.

"Justeru, pembangunan hendaklah sentiasa seiringan dengan inisiatif pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan di kawasan tinggi serta berbukit, termasuk di kawasan yang menjadi tadahan hujan haruslah turut dikawal selia," titah Seri Paduka.

Seri Paduka bertitah demikian sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2023 di Istana Negara, hari ini.


Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan penghargaan atas usaha proaktif serta inisiatif Jabatan Wilayah Persekutuan dalam meningkatkan taraf hidup dan meringankan beban warganya melalui pelbagai program yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah supaya semua menteri, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta warga kota menjaga kota raya ini sebagai bandar raya yang benar-benar bersih dan cantik.

"Jadikan bandar raya Kuala Lumpur bertaraf bandar raya kelas pertama bukan kelas kedua atau ketiga dan saya berharap impian ini akan menjadi kenyataan," titah baginda.

Seri Paduka bertitah usaha ini termasuk pemberian bantuan kebajikan rakyat miskin dan terjejas pendapatan, usaha pembasmian miskin tegar bandar dan strategi penyediaan kediaman yang selesa untuk warga berpendapatan rendah.


"Beta juga amat bersyukur dengan komitmen kerajaan beta dalam menjaga kemaslahatan rakyat beta, khususnya dalam menangani isu-isu semasa yang secara tidak langsung merangsang pengukuhan sosio dan ekonomi rakyat beta.

"Pelbagai pembaharuan akan turut dilaksanakan dengan berpegang kepada prinsip menjaga kebajikan rakyat, mengeratkan perpaduan, meringan dan menaikkan taraf hidup rakyat beta di Wilayah Persekutuan," titah Al-Sultan Abdullah.

Seri Paduka turut merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pembentukan kerajaan perpaduan pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 lepas.

Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa sukacita terhadap komitmen Anwar untuk menerapkan nilai-nilai integriti dalam kerajaan dan usaha segera untuk merungkai permasalahan ekonomi yang dihadapi rakyat. – Bharian



Join our Telegram Channel
Telegram