PETALING JAYA: PAS Selangor mengesahkan tiada perbincangan mendalam berhubung tawaran jawatan atau kerusi kepada bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menjelang PRN akan datang.
Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir berkata, parti itu mempunyai ramai calon berpengalaman dan berkemampuan untuk diangkat calon menteri besar Selangor, jika Perikatan Nasional (PN) menang.
“PAS Selangor tak pernah bincang secara spesifik tawaran untuk KJ,” katanya kepada FMT, mengulas pendedahan Khairy pada Isnin lalu berhubung tawaran bertanding pada PRN Selangor serta sebuah parti berhasrat menamakannya memegang jawatan menteri besar.
Beliau bagaimanapun berkata PAS terbuka kepada mana-mana individu, termasuk mereka yang dikenakan tindakan disiplin oleh Umno untuk menyertai parti itu.
“Tetapi, kami menawarkan semua ahli dan pimpinan Umno yang kecewa atau tidak berpuas hati (dengan kepimpinan Umno) agar meneruskan perjuangan mereka melalui PAS.”
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Bersatu Selangor, Zulkafperi Hanapi, berkata tiada pelawaan atau tawaran kepada Khairy sebagai calon, atau menteri besar jika PN memenangi PRN.
Katanya, tiada perbincangan antara pimpinan Bersatu Selangor dengan Khairy berhubung tawaran itu setakat ini.
“Saya tidak tahu sekiranya pimpinan atas beri tawaran (kepada Khairy), tetapi di peringkat (Bersatu) Selangor tiada pelawaan,” katanya menurut Sinar Harian.
Tetapi, beliau berkata, Bersatu mengamalkan konsep terbuka kepada mana-mana bekas pemimpin dan ahli Umno atau Pakatan Harapan (PH) menyertai parti itu, dengan harapan ia dapat menguatkan lagi Bersatu bagi memperjuangkan agenda penyatuan kaum Melayu.
“Kita yakin sekiranya orang Melayu bersatu padu dan memberi undi kepada PN, maka kerajaan Selangor yang dipimpin PH pasti dapat ditumbangkan.”
Pada PRU15, PN menawan enam kerusi Parlimen di Selangor, iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang, Kapar dan Kuala Langat. PH pula menang 16 kerusi Parlimen.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Khairy, Noh dipecat; Hishammuddin, Shahril digantung – Sumber
- Kemasukan KJ ke PKR perlu dibincang – Rafizi
- ‘Saya takkan tunduk, patah semangat’, respon KJ selepas dipecat Umno
- PKR mungkin 'tutup pintu' buat KJ
- Tak akan rayu pemecatan – KJ
- Mungkin tanding PRN, tubuh parti baharu – KJ
- KJ ditawar tanding PRN Selangor, jadi MB jika menang
- KJ, Shahril ‘aset negara’, pintu terbuka untuk sertai MUDA
- PAS, Bersatu Selangor tak pernah bincang tawar KJ jadi MB
- KJ kini DJ Hot FM
- Bersatu tawar KJ jawatan MB N Sembilan
- KJ rebut jawatan Naib Presiden ‘persatuan basikal’
Join our Telegram Channel