PAS ‘tolak’ Azmin calon MB Selangor, ramai calon lain lebih layak



Ketika muncul bayangan bahawa Azmin Ali mungkin dicalonkan Perikatan Nasional (PN) sebagai menteri besar Selangor, seorang pemimpin kanan PAS sebaliknya kelihatan tidak senang dengan langkah tersebut.

Selain menganggap pengumuman itu sebagai terlalu awal Bendahari PAS Pusat, Iskandar Abdul Samad, berkata terdapat ramai calon lain yang turut layak dinamakan untuk jawatan tersebut.

"Ketika kita menunggu tarikh PRN (pilihan raya negeri), senario politik Selangor dikejutkan dengan spekulasi bahawa Azmin akan kembali menjadi menteri besar tetapi kali ini mewakili PN.

"Respon saya kepada berita tersebut ialah: terlalu awal untuk menamakan calon menteri besar dan terdapat ramai calon lain yang juga layak," katanya dalam kenyataan hari ini.


Terdahulu PN Selangor dilaporkan berkata mereka tidak menolak kemungkinan mencalonkan Azmin sebagai menteri besar sekiranya berjaya memenangi PRN di Selangor nanti.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya PN Selangor Zulkafperi Hanafi berkata peluang sentiasa terbuka kepada bekas ahli parlimen Gombak itu untuk diangkat sekali lagi menjadi menteri besar.

Namun kata ahli Parlimen Tanjong Karang itu segala keputusan terletak kepada kebijaksanaan pemimpin PN bagi menentukan calon terbaik menjawat jawatan penting berkenaan.

Walaupun tewas di kerusi parlimen Gombak dalam PRU ke-15 pada Nov tahun lalu, Azmin masih menjadi Adun Bukit Antarabangsa.


Dia pernah menjadi menteri besar Selangor bagi kerajaan PH antara Sept 2014 sehingga 19 Jun 2018. Dia yang pernah menjadi timbalan presiden PKR kemudian melepaskan jawatan tersebut untuk menyertai kabinet Dr Mahathir Mohamad.

Azmin kemudian mengetuai sekumpulan ahli parlimen PKR untuk berpaling tadah meninggalkan PH dalam Langkah Sheraton yang menyaksikan jatuhnya kerajaan tersebut.

Usah syok sendiri


Dia kemudian dilantik menjadi menteri kanan dalam kabinet Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Iskandar berkata dia berpendapat mana-mana parti yang menyertai PRN bukan saja perlu menamakan calon menteri besar masing-masing, malah barisan exconya.


Memberi amaran bahawa pengundi sekarang lebih cerdik dan bermaklumat, Iskandar berkata, mereka memang mahu tahu bentuk kerajaan yang ditawarkan oleh sesebuah parti sebelum membuat keputusan memberikan undi masing-masing.

Tindakan menamakan calon menteri besar dan barisan exco selepas memenangi pilihan raya, katanya, adalah amalan ketinggalan zaman dan tidak sesuai di negeri maju seperti Selangor.

"Justeru jika parti-parti serius untuk memenangi PRN, calon-calon mereka mesti yang berkemampuan untuk mentadbir negeri.

"Ini penting terutamanya bagi negeri seperti Selangor yang merupakan pusat ekonomi negara dan dengan aset bernilai berbilion-bilion ringgit.


"Majoriti pengundi adalah bukan ahli parti, mereka tidak memiliki sikap taat setia kepada mana-mana parti dan tidak ada masa untuk sebarang sentimen dalaman yang lazimnya menguasai orang-orang parti," jelasnya.

Tegas bekas exco Selangor itu lagi, pengundi mahu memilih calon berdasarkan merit, namun kadangkala terdapat parti yang "jahil" terhadap faktor-faktor mempengaruhi pilihan pengundi.

"Jadi kepada parti-parti politik, jangan syok sendiri, tetapi bertanyalah kepada rakyat apa yang mereka mahu.

"Jangan pula kita merasakan calon-calon kita hebat berdasarkan kerja-kerja mereka di dalam parti tetapi ditertawakan oleh rakyat," kata Iskandar. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram