Polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan seorang anggotanya yang dikatakan mempunyai hubungan sulit dan mengganggu isteri orang seperti video yang tular di laman sosial Facebook sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata polis juga telah menerima laporan daripada suami wanita terbabit mengenai salah laku anggota berusia 36 tahun yang bertugas di Balai Polis Ayer Keroh itu.
"Perkara ini sedang dalam siasatan lanjut meliputi pelbagai elemen dan kami juga perlu hantar sampel video itu ke forensik untuk kami tentukan kesahihan yang dibuat oleh pengadu.
"Dalam isu ini saya tidak akan berkompromi jika ia melibatkan salah laku anggota selain tidak teragak-agak untuk ambil tindakan," katanya kepada pemberita di Melaka hari ini.
Mengulas lanjut Christopher berkata siasatan mengenai kes itu dijalankan oleh D11 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).
Katanya anggota tersebut juga masih menjalankan tugas seperti biasa dan kes itu disiasat di bawah Sesyen 498 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memikat dan memperdaya isteri orang.
Terdahulu tular satu hantaran di Facebook dan video dakwaan seorang lelaki mengenai masalah rumah tangga yang berusia sembilan tahun itu diganggu pihak ketiga dan dipercayai hubungan isterinya dan anggota terbabit telah berlarutan sehingga setahun. – Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel