Rogol, dera seksual sepupu bawah umur di kebun getah, lelaki dipenjara 15 tahun



PUTRAJAYA: Seorang pekerja rencam dipenjara 15 tahun dan sembilan sebatan atas pertuduhan penderaan seksual dan merogol sepupunya yang masih bawah umur.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Kamaludin Said berkata, tidak ada kelonggaran perlu diberikan memandangkan ia kesalahan berat dilakukan tertuduh.

Lelaki berusia 30 tahun itu memfailkan rayuan terhadap hukuman berkenaan selepas Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 14 sebatan.

Tertuduh mengaku salah merogol gadis yang ketika itu berusia 13 tahun, dan juga atas dua pertuduhan penderaan seksual.


Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan di sebuah kebun getah di Sungai Siput, pada 4 petang, 14 Ogos 2021.

Lelaki itu ditahan pada 20 Okt 2021 dan didakwa seminggu kemudian.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan memerintahkan dia disebat enam kali kerana merogol.

Dia juga dikenakan hukuman penjara lima tahun dan empat sebatan bagi setiap pertuduhan penderaan seksual.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan berasingan, dan ini bermakna tertuduh akan menjalani hukuman penjara 20 tahun dan 14 sebatan.

Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan hukuman lelaki itu kepada 15 tahun kerana merogol tetapi mengekalkan tempoh lima tahun bagi setiap baki dua kesalahan lain.


Kamaludin, yang bersidang bersama Supang Lian dan Ahmad Nasfy Yasin, turut memerintahkan lelaki itu dikenakan tiga sebatan bagi setiap kesalahan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak, bermakna lelaki itu akan menjalani hukuman 15 tahun dari tarikh dia ditangkap.

Terdahulu, peguam Kathan Maruthamuthu daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, berkata hukuman itu perlu dikurangkan kerana anak guamnya mengaku bersalah dan menjimatkan masa mahkamah serta pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad berhujah hukuman itu harus dikekalkan atas alasan kepentingan awam.

Memandangkan mangsa masih bawah umur, identiti pelaku dan mangsa dirahsiakan. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram