SPRM akan panggil Muhyiddin berkait dana meragukan RM300 juta dari kontraktor



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor akan memanggil Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berhubung siasatan terhadap kedudukan kewangan parti itu.

Menurut laporan New Straits Times, Pengerusi PN yang juga bekas perdana menteri itu akan dipanggil dalam masa terdekat.

"Muhyiddin akan dipanggil bagi dirakam kenyataan mengenai dakwaan RM300 juta yang diterima parti terbabit sebagai dana politik daripada kontraktor yang dianugerahkan projek ketika pentadbirannya," katanya.

Menurutnya, beberapa pemimpin Bersatu juga sudah dipanggil untuk memberi keterangan termasuk bendahari parti itu.


Sumber berkenaan turut mengesahkan SPRM telah membekukan dua akaun milik Bersatu yang berbaki RM40 juta.

"Hasil pemeriksaan menunjukkan semua penyumbang kepada parti terbabit adalah kontraktor yang menerima kontrak kerajaan ketika pentadbiran Muhyiddin," katanya.

Dilaporkan kontraktor terbabit dikenal pasti selepas SPRM menyiasat beberapa akaun milik Bersatu yang dibekukan hujung bulan lalu.

Bersatu sebelum ini dilaporkan menerima hingga RM300 juta daripada kontraktor berkenaan sebagai dana politik susulan persetujuan dibuat dengan beberapa pemimpin parti.


Difahamkan lebih 15 individu termasuk pemimpin parti itu dan pihak kontraktor sudah dipanggil SPRM untuk dirakamkan kenyataan.

Sebelum itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman, berkata SPRM sudah membekukan beberapa akaun milik parti itu.

Katanya pembekuan akaun itu ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan berjumlah RM92.5 bilion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan PN ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan ketika pandemik Covid-19. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram